PAS bangkit ubah politik dan kepimpinan masa depan

- Advertisement -

PILIHAN Raya Umum Parlimen ke-15 sudah lebih 1 tahun berlalu. Dalam pilihan raya berkenaan PAS dan sekutunya menang kesemua 8 kerusi Parlimen termasuklah Parlimen Kemaman. Pakatan Harapan dan Barisan Nasional gagal di Terengganu.

Ketika itu para penganalisa menyatakan bahawa terdapat ‘Gelombang Hijau’ yang melanda seluruh bumi Semenanjung, apabila PAS mencatatkan pencapaiannya tertinggi dalam sejarah menang 43 kerusi Parlimen, iaitu menjadikan PAS parti terbesar di Parlimen. Bersama PERIKATAN NASIONAL, sejumlah 74 kerusi ditawan seluruh Malaysia.

Gelombang Hijau ini bukannya kebangkitan PAS semata-mata tetapi realitinya ia kebangkitan politik atau kesedaran politik di kalangan umat Melayu Islam yang buat pertama kali bangkit mengundi menolak PH dan BN. Mereka memberikan mesej bahawa umat Melayu punya maruah dan tidak lagi rela bersekongkol menaikkan pimpinan yang korup, pincang serta tempang.

Di Terengganu gelombang ini menolak semua calon-calon PH dan BN dengan PAS dan sekutunya menang dengan majoriti yang besar.

Manakala pada bulan Ogos baru-baru ini diadakan pula Pilihan Raya Umum 6 negeri termasuklah Terengganu. Ternyata gelombang tadi masih aktif memukul seluruh pelosok Terengganu apabila PAS dan sekutunya menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

PRN Terengganu membuktikan bahawa rakyat Terengganu telah selesa dan meletakkan keyakinan penuh pada Kerajaan negeri PAS pimpinan Menteri Besar Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Mereka juga meluahkan melalui PRN ini bahawa mereka mahukan saf kepimpinan yang bersih, bertenaga dan bertaqwa, yang mampu membawa pembangunan fizikal dan rohani pada negeri bertuah ini. Dan pada mereka tiada lain yang sesuai di Terengganu melainkan PAS dan sekutunya.

Kesimpulannya PRU Parlimen dan Negeri di Terengganu telah menoktahkan PH dan Umno di negeri ini. Walau apa cemuhan dan fitnah jahat dilemparkan terhadap PAS, rakyat Terengganu kenal dan tahu, mana satu kaca dan mana satu permata. Dan inilah keputusan mereka iaitu 8-0 di Parlimen dan 32-0 di Dewan Negeri.

PH saya fikir akur bahawa buat masa ini mereka tiada tempat di hati rakyat Terengganu. Mereka kini mungkin berkokok sebagai Kerajaan di Persekutuan namun dengan kekuatan itu, semangat dan kesatuan rakyat Terengganu tidak dapat mereka pantau atau tundukkan.

BN khasnya Umno pula, menderita dengan kekalahan angkara ‘Gelombang Hijau’ ini. Rakyat Terengganu seakan telah mengusir mereka keluar. Dan Umno terpaksa menghadapi jalan sukar untuk membina kembali kekuatannya setelah dilupuskan begitu sahaja oleh rakyat.

Di peringkat Parlimen pun Umno sekadar mampu bertahan di 26 kerusi (semua di luar Terengganu) berbanding PAS yang kini punya 43. Bagaimanakah mahu mereka menongkah arus, menegakkan kembali panji-panji mereka yang pada rakyat hari ini adalah panji-panji yang memalukan umat Melayu Islam? Barisan kepimpinan tertinggi Umno yang membawa kepada kekalahan parti ini masih kekal memimpinnya, walaupun telah ditegur oleh rakyat dalam pilihan raya, mereka kekal mahu memimpin juga.

Kini rakyat Terengganu khasnya di Parlimen Kemaman diberikan sekali lagi mandat untuk membuat pilihan apabila mahkamah membatalkan keputusan PRU Parlimen yang lepas. 141,790 orang pengundi akan mengundi sekali lagi, kali ini memilih antara calon Umno dan PAS.

Dalam PRU Parlimen yang lepas Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu sendiri, Dato Seri Ahmad Said yang membawa panji-panji perjuangan Umno, tersembam ke bumi apabila tewas pada calon PAS dengan majoriti 27,179 undi.

Dengan pencapaian majoriti yang besar itu, Umno kini terpaksa menghadapi PAS lagi setelah berjaya dalam petisyen pilihan raya mereka. Adakah rakyat Terengganu telah berubah sejak PRU Parlimen ke-15 lalu? Yang kita tahu tidak, kerana pada PRN ke-15 baru ini mereka kekal memenangkan calon PAS dan sekutunya di keempat-empat DUN dan sekali lagi turut mengalah Ahmad Said di Kijal.

Umno mungkin berjaya di mahkamah, tetapi adakah mereka berupaya menghadapi sekali lagi ‘mahkamah rakyat’? Adakah mereka menyangkakan yang ‘Gelombang Hijau’ Terengganu telah lesu dan reda?

Awal-awal lagi Umno telah menunjukkan ketidakyakinan mereka, apabila gagal meletakkan calon dari kalangan kepimpinan Umno negeri sendiri. Setelah terpukul dengan kekalahan berganda, Ahmad Said tidak bertanding kali ini dan sebaliknya Umno mempertarungkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Panglima Angkatan Tentera.

Mustahil tiada calon Umno negeri yang profesional, yang berwibawa mampu dikedepankan? Atau mungkin Umno Terengganu sedar, sebagaimana PRK Kuala Terengganu Ogos lalu, dimana calon PAS menang dengan lebih besar, bahawa PH dan Umno tiada masa depan di sini.

Bagi PAS Pilihan Raya Kecil ini besar dan penting walau PAS telah selesa dengan kemenangan terbaik di Parlimen dan Negeri. PAS sedar bahawa ia hari ini adalah parti yang mewakili suara umat Melayu Islam apabila ia muncul dengan 43 kerusi, iaitu blok yang terbesar di Parlimen. PAS sedar ‘Gelombang Hijau’ yang bangkit pada PRU15 lalu adalah gelombang kesedaran politik umat Melayu Islam yang hanya nampak masa depan mereka pada PAS.

Kerana itu PAS perlu mengemukakan calonnya yang terbaik di Kemaman. Bukan hanya kerana ia mahu memenangi hati 141,790 pengundi di Kemaman, tetapi ia mahu menbuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa ia mampu dan sentiasa bersedia untuk memimpin ummah.

Umat Melayu Islam dan seluruh rakyat Malaysia dan Terengganu perlukan pemimpin yang bersih rasuah, yang berkelayakan, yang tinggi nilai moralnya dan sentiasa tunduk pada Allah S.W.T. Bukannya pemimpin yang telah tercemar dengan rekod buruk yang mengaibkan bangsa dan negara.

Lantaran itu PAS telah memilih Naib Presidennya, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu sebagai calon PAS di PRK Kemaman.

Bukan hanya rakyat Kemaman tetapi rakyat seluruh Malaysia mengenali ketokohan Dr Samsuri. Semoga permata yang berkilau ini disambut oleh pengundi Kemaman dengan harapan kita bangkit ubah politik dan kepimpinan Malaysia masa depan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 22/11/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!