ALOR SETAR: Kerajaan negeri meneruskan pembangunan Kedah Aerotropolis dengan mengadakan memorandum perjanjian (MoA) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) Airport City Holding bersama Tahira Air Sdn Bhd.
Perjanjian itu ditandatangani Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi Lembaga Pengarah KXP Airport City Holdings di Wisma Darul Aman hari ini.
Pada MoA itu Tahira Air Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tahira Group Vincent Tan Kee Kim.
Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Pengerusi KXP Airport City Holdings yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Seri Norizan Khazali.
Selain itu Ahli-ahli Lembaga Pengarah Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, Tan Sri Dato’ Ir Jamilus Hussein, Dato’ Wira Isahak Murat dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Fauzi Mustafa dan Pengarah Urusan Tahira Logistics Sdn Bhd Zeny Azuan Roslee.
MoA itu diadakan selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Sebelum ini Kementerian Pengangkutan dilapor memberitahu tiada keperluan dan daya maju bagi pembinaan KXP selepas mengambil kira fasiliti sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) belum mencapai tahap optimum.
Menurutnya cadangan pembinaan lapangan terbang baharu boleh dipertimbang selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta penumpang setahun (MPPA) yang diunjurkan sehingga 2042.
Sedangkan asas utama pembinaan KXP dirancang bagi memberi tumpuan 100 peratus kepada sektor kargo dan bukan penumpang. – HARAKAHDAILY 22/11/2023