Hasil kajian trafik jalan raya meragukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) melahirkan rasa keraguan terhadap kajian laluan Persekutuan FT060 Changkat Jering-Batu Hampar yang dikatakan mencukupi untuk menampung trafik sedia ada.

Jelas beliau, sebelum dibuka Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) laluan itu telah pun sesak

- Advertisement -

“Setiap hujung minggu, quenya sampai 4 hingga 5 kilometer dan pemandu mengambil jalan pintas masuk ke jalan kampung, laluan kebun dari Kuala Trong keluar ke Sungai Limau, Changkat Jering dan Kuala Sepetang.

“Ini menyebabkan jalan laluan kampung sesak dan mengakibatkan berlaku kemalangan dalam kampung,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan melakukan sekali lagi kajian untuk melihat sebenarnya apa yang berlaku di jalan berkenaan.

“Ini kerana jalan FT060 ada satu laluan sahaja keluar dari Lebuh Raya PLUS ke kanan untuk ke Batu Hampar dan Manjung.

“Nak masuk ke tol pun satu lorong, dua arah ini sangat sesak, minta perhatian daripada kementerian, terima kasih,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata kementerian mengambil maklum dan perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan.

“Seperti yang saya jelaskan tadi, kajian ini sentiasa kita teruskan. Jadi terima kasih atas maklumat daripada Yang Berhormat dan saya sendiri akan turun ke sana untuk tengok.

“Nanti saya akan berhubung dengan Yang Berhormat supaya kita boleh (bincang) bersama. Inilah yang kami hendak, maklum balas yang boleh selesaikan masalah rakyat,” katanya. –HARAKAHDAILY 22/11/2023