Coldplay mempromosikan kegiatan LGBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun Coldplay dikatakan menyokong Palestin, kumpulan itu terlibat dalam mempromosikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, sokongan mereka hanya ditunjukkan sedikit menerusi coretan di laman muka buku (Facebook) kumpulan tersebut berkaitan Palestin.

- Advertisement -

“Isunya di sini bukannya berkaitan menyokong Palestin dan menolak Israel.

“Walaupun saya sedikit sangsi tentang sokongan tersebut, kerana hanya terdapat sedikit coretan di Facebook mereka tentang Palestin.

“Namun yang lebih penting, Coldplay dikaitkan dengan kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan LGBT,” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Digital di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, penganjuran sebarang konsert ketika ini amat tidak bersesuaian kerana ia akan mengganggu sensitiviti rakyat terhadap isu Palestin.

“Penganjuran konsert bintang terbakar (Star on Fire) pada 1 Disember amat tidak sesuai dan mengganggu sensitiviti rakyat di saat saudara kita disembelih di Palestin.

“Jika nasihat mufti kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan program yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini, sebenarnya kerajaan terlebih dahulu perlu mengambil langkah menutup pintu dan ruang maksiat ini sebagai salah satu Sad az-Zarai’e.

“Maka dengan rendah hati, saya memohon kerajaan membatalkan kedua-dua konsert tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/11/2023.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!