Usaha bawa balik sukan F1 ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Ir TS Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, sukan permotoran F1 yang bermula pada tahun 1999 sehingga 2017 menarik minat ramai pelancong datang ke negara ini.

Advertisement

Menurutnya, sukan tersebut berjaya menarik minat ramai orang dalam sukan berkaitan permotoran kereta.

Katanya, Menteri Belia dan Sukan (KBS) menyatakan bahawa kerajaan akan dapat mengembalikan semula sukan tersebut jika mendapat tajaan sebanyak RM200 juta daripada pihak korporat.

“Persoalan saya, apakah inisiatif kerajaan, khususnya KBS untuk memastikan dan mencari penderma atau penganjur yang mampu untuk membantu kita menganjurkan sukan berprestij ini?” katanya ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Hak Penyiaran Eksklusif amat sukar untuk didapati dalam sukan tersebut yang sememangnya adalah sukan berjenama mewah.

Menurut beliau, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hanya tertumpu kepada sukan permotoran Motor GP yang sukan tersebut baru-baru ini, mencatatkan kehadiran penonton sebanyak 182,912 orang.

Katanya, ini merupakan satu pencapaian yang menunjukkan penonton masih berminat untuk menyaksikan secara langsung perlumbaan permotoran F1 dapat dilaksanakan semula di negara ini.

“Barang kali boleh dilihat kajian kebolehupayaan untuk kita melaksanakan sukan permotoran ini untuk meningkatkan jumlah pelancong hadir dalam negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023