KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertingkatkan peruntukan untuk Geran Padanan Sukan (GPS) berbanding dalam Belanjawan 2024 sebanyak RM50 juta.
Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diakui memberi impak besar khususnya dalam beberapa temasya antarabangsa.
Beliau berkata, peningkatan geran itu bakal memberi galakan kepada penganjuran acara sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa berprestasi tinggi oleh kerajaan atau badan swasta.
“Saya nak mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada KBS melalui inisiatif GPS adalah satu usaha penambahbaikan oleh kementerian ini dan program ini amat berjaya.
“Bukan sahaja di kawasan saya dan saya juga yakin di kawasan lain, sebanyak RM40 juta diperuntukkan pada 2023, adakah KBS bercadang untuk menambah peruntukan GPS pada masa akan datang,” katanya.
Berucap pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa KBS, Abdul Khalib berkata beberapa tumpuan diberikan bagi program latihan dan pembangunan sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN).
Sebagai agensi penting di bawah KBS, katanya MSN memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan atlit dan memastikan kemudahan sukan di negara ini berkualiti tinggi.
Beliau berkata dalam aspek pembangunan bola sepak, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) perlu diperkasakan bagi pencarian bakat baharu pemain bola sepak dapat dihasilkan.
“Persoalan di sini, pasukan negara sudah semakin meningkat maju ke hadapan, menempa banyak kejayaan peringkat antarabangsa tetapi program pembangunan bola sepak kita masih banyak kekurangan.
“Apa yang paling jelas ada pusat latihan daerah di bawah seliaan program NFDP tidak mempunyai bola untuk menjalankan latihan, di manakah peruntukkan ini disalurkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023