KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan bahawa isu kumpulan Coldplay yang Perdana Menteri katakan menyokong Palestin bukan isu memberi sokongan atau tidak kepada Palestin semata-mata, tetapi budaya hedonisme yang dibawa dalam masyarakat.
Ahmad Fadhli Shaari berkata, dalam suasana hiruk pikuk isu Palestin pada hari ini, membawa satu kumpulan antarabangsa ke negara ini tidak sesuai dengan masanya.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh memainkan peranan untuk menerapkan kesedaran seperti itu.
“Ditambah pula kumpulan-kumpulan pemuzik antarabangsa yang ada terlibat menyokong isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) secara terang-terangan dan ini tidak boleh, belia-belia harus dielakkan daripada terlibat dalam perkara seperti ini dalam keadaan kontroversi video Mr H dan sebagainya.
“Saya kira ini masanya untuk belia kita perlu diingatkan supaya menghindari perkara seperti ini daripada membawa kepada isu yang tidak sesuai,” katanya ketiika perbahasan peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kampar mengenai boikot berhubung isu Palestin.
“Dia tanya kenapa kerajaan Kelantan tak nak boikot Mercedes…Mercedes sokong israel. Kita kata bahawa boikot ini dibuat dengan rasa hati kita, kita laksanakan dengan kesedaran dan rasa hati kita.
“Ada perkara yang kita tak mampu nak boikot, sebagai contoh penggunaan iPhone… Facebook dan sebagainya, apa yang kita boleh boikot kita boikot, tak boleh buat semua, jangan tinggal semua dan jangan perlekehkan orang yang hendak laksanakan boikot kepada barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang menyokong Israel.
“Kita boleh buat satu, kita buat satu, tak boleh buat semua, jangan tinggakan semua dan jangan perlekehkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023