
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani didesak agar menapis dan menyekat terlebih dahulu sebarang kemasukan budaya liar dari negara barat yang boleh meruntuhkan budaya dan adat susila timur yang masih kuat terpahat di negara ini.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata demikian susulan Malaysia sekali lagi telah membenarkan budaya hiburan dari negara barat menerusi konsert Coldplay yang dianjurkan oleh Live Nation Malaysia, yang akan dipersembahkan di Stadium Bukit Jalil pada malam esok (22 Nov).
Beliau turut mempersoalkan mengapa Coldplay dibawa ke negara ini dan ditaja pula oleh sebuah bank tempatan dan apakah tujuannya?
“Difahamkan Coldplay merupakan band dari London, England yang popular dan telah meraih pelbagai anugerah antarabangsa.
“Kalau kita lihat, kebanyakan konsert hiburan barat sangat asing dan melampaui batas-batas agama, budaya dan bangsa.
“Di samping itu, mereka cuba mempromosikan hak asasi barat dan liberalisasi yang sangat bercanggah dengan anutan Islam rakyat di negara ini,” tegasnya.

Tambah beliau, ketika rakyat di seluruh pelosok dunia sedang berduka melihat pembantaian umat Islam di Palestin oleh Zionis Israel pada saat ini, masyarakat di Malaysia pula telah disogok dengan hiburan barat yang menyokong kepada keganasan Israel.
“Tambahan, pula umat Islam di negara kita ketika ini sedang mempertahankan enakmen syariah daripada diruntuhkan dan pada masa ini jugalah konsert Barat itu turut dipromosikan,” luahnya.
Mohd Zai turut memberitahu sebenarnya Malaysia tidak boleh disamakan dengan Britain dan Amerika Syarikat, yang mana kedua-dua negara menegakkan hak asasi yang meletakkan sekular dan liberal sebagai neraca ukuran.
Penyokong LGBTQ
Sementara itu, Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi mewakili Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKKR DMPM) menggesa kerajaan menarik balik kebenaran konsert Coldplay itu.
Pengerusinya, Nuri Muhammad berkata, masih belum terlambat untuk tindakan ini diambil jika melihat kepada kesan negatif yang diwujudkan kepada masyarakat berdasarkan pengalaman lepas konsert seperti ini.

Beliau menegaskan bahawa Coldplay telah menyatakan sokongan untuk komuniti lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBTQ) dalam pelbagai cara sepanjang kerjaya mereka.
“Pada 2017, Coldplay menderma sebanyak RM19,000 untuk membantu organisasi LGBTQ di Australia berkempen untuk kesaksamaan perkahwinan.
“Vokalis Coldplay, Chris Martin merupakan penyokong hak asasi kumpulan songsang itu dan pernah beberapa kali mengibarkan bendera ‘pelangi’ yang mewakili golongan berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, ketika Malaysia sedang fokus kepada keadaan getir rakyat Palestin di Gaza, persiapan mangsa-mangsa menghadapi banjir, kekangan ekonomi, peningkatan harga barang; kerajaan Malaysia pula membenarkan konsert Coldplay yang jelas penyanyinya menyokong LGBTQ dan ia langsung tidak membawa keuntungan kepada rakyat pada masa sekarang jika dianjurkan.
“Ia ibarat penganjur tidak peka dan sensitif dengan situasi semasa yang dihadapi oleh rakyat dan dunia ketika ini.
“Justeru, seluruh rakyat Malaysia digesa membantah konsert Coldplay ini dengan katakan TIDAK kepada penganjuran konsert ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023