KUALA LUMPUR: Ahli akademik berbangsa Palestin, Prof Dr Abd al-Fattah El-Awaisi menyifatkan usaha dalam pembebasan Palestin telah membebaskan jutaan orang di seluruh dunia daripada kejahilan terhadap perjuangan Palestin.
“Bolehkah apa yang berlaku di Gaza selama 44 hari membebaskan minda umat Islam daripada penjajahan Barat dan perhambaan intelektualnya?
“Dan bangunkan umat Islam untuk membebaskan minda mereka daripada malapetaka intelektual (Nakbah) sebagai langkah prasyarat untuk pembebasan Masjid al-Aqsa seterusnya?
“Sesungguhnya, ini adalah masa yang sesuai untuk ini,” ujar beliau yang kini terhalang mesej-mesej mengenai Palestin disampaikannya di media sosial.
Tegas beliau, hanya pengetahuan yang benar dapat memacu perubahan, pembebasan dan tamadun di mana beliau yakin bahawa perkara tersebut sedang dan akan disaksikan oleh seluruh dunia ketika ini.
Beliau ada menyatakan kekagumannya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun mengakui sedar bahawa tokoh tersebut mungkin tidak disukai oleh segelintir rakyat negara ini.
“Saya tahu ramai orang (di Malaysia) tidak memihak kepadanya. Tetapi sekurang-kurangnya dia tidak segan untuk mengatakan apa yang betul (dan salah),” ujarnya.
Dr Abd al-Fattah menyifatkan Tun Mahathir yang berusia 98 tahun itu sentiasa memberi penyataan dengan sangat konsisten dalam pendirian mengenai isu Palestin sejak awal mendukung negara umat Islam itu.
Dalam masa sama, Dr Abd al-Fattah telah beberapa kali mengutuskan surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menzahirkan kekecewaannya kepada pemimpin tersebut.
“Dalam surat terakhir saya kepada anda, saya telah menyatakan bahawa ‘pendirian rasmi Kerajaan Malaysia adalah sangat lemah dan tidak berguna’.
“Walau bagaimanapun, saya berasa marah apabila mengetahui bahawa anda telah mengambil tindakan, tetapi ke arah yang salah dengan menyokong dan bekerja dalam agenda Zionis.
“Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution di Parlimen Malaysia mengatakan bahawa ‘Perdana Menteri terlibat dengan pemimpin lain untuk membawa rakyat Palestin keluar dari Gaza’.
“Dalam erti kata lain, ‘usaha besar’ Perdana Menteri, akan berunding dengan pemimpin lain ‘untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari Gaza’,” ujarnya terhadap isu pemindahan tersebut baru-baru ini itu.
Menurut beliau, ia dinamakan ‘pemindahan’ rakyat Palestin iaitu dari Semenanjung Gaza ke Sinai Mesir merupakan agenda Zionis semata-mata sejak sekian lama yang telah dicadangkan semula oleh Kerajaan Zionis dalam perang semasa.
“Mana-mana Kerajaan Islam menyokong rancangan ini, atas apa jua sebab (seperti keselamatan dan keamanan untuk rakyat Palestin), sememangnya bekerja untuk agenda Israel.
“Dengan mengambil tindakan berunding dengan pemimpin lain untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke Sinai bukanlah menyokong agenda Zionis, tetapi bekerja untuk agenda Zionis,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023
Dunia bebaskan Palestin, tapi pendirian Malaysia lemah
Ahli akademik berbangsa Palestin luah rasa
- Advertisement -