Dr Sam tamak? Relaks la bro…

- Advertisement -

PEMIMPIN Umno mungkin agak terkejut apabila PAS mencalonkan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi calon PAS/PN bagi Pilihan Raya Kecil P.040 Kemaman. Oleh kerana terkejut dan mungkin mereka menyangka bahawa mereka akan terus kalah di pilihan raya kecil ini, maka ada yang menyebut Dr Sam tamak untuk menjadi calon.

- Advertisement -

Saya ingin menjawab dari beberapa sudut.

Apabila disebut tamak, kalau menurut syarak, ia adalah sifat keji, berdosa. Tamak bermakna inginkan sesuatu yang bukan milik dan haknya. Soalannya adakah itu yang dibuat oleh Dr Sam? Kata orang Cukai, Kemaman: ‘I don’t think so’.

Dr Sam menjawab dalam temuramah wartawan di hari penamaan calon bahawa beliau menerima amanah dari parti. Ini bererti beliau tidak tamak. Dari segi jawatan dan kedudukan, saya rasa Dr Sam boleh saja melobi pimpinan PAS lain untuk beliau dicalonkan, tetapi saya rasa beliau tidak begitu. Dalam PAS, kami tidak diajar untuk tamak seperti pimpinan parti sebelah sana yang tamakkan jawatan, apatah lagi projek-projek yang banyak. Sejarah telah membuktikannya.

Adakah PAS ketandusan calon untuk dikemukakan selain Dr Sam? Alhamdulillah, PAS punya ramai calon berkaliber dan berpotensi di Kemaman. Namun kerana kerusi itu satu sahaja, maka hanya seorang sahaja yang mengisinya. Dato’ Tuan Ibrahim, Timbalan Presiden PAS di malam pengisytiharan calon di Cukai menyebut, pimpinan menerima 5 nama calon. Siapa 5 calon itu? Saya tak tahu, tetapi ini menunjukkan PAS memang punya pemimpin yang ramai dan layak.

Di peringkat kepimpinan PAS Kemaman pula, Alhamdulillah tidak kedengaran protes sama ada terang atau senyap terhadap calonnya. Kami mudah dan bersedia menerima. Apabila Dr Sam turun meninjau jentera PAS di peringkat Unit Daerah Mengundi di 4 DUN di Kemaman, sambutan Alhamdulillah. Mereka teruja MB bertandang dan bertanding di sini. Tidak seperti sebelah sana yang agak tidak puas hati dengan calon.

Ada lagi? Ya, Dr Sam telah menunjukkan kepimpinan di peringkat negeri yang sangat baik pada penggal lepas dan awal penggal ini. Prestasi yang baik ini menjadi petanda yang baik kepada rakyat dan pengundi Kemaman untuk memangkah Dr Sam dan PAS pada 2 Disember ini, insya-Allah.

Saya juga yakin, apabila pemimpin PAS memilih Dr Sam untuk menjejak kaki ke parlimen, ada hasrat dan misi besar yang ingin dibawa? Apa hasrat dan misi besar itu?

Perkara akan datang hanya ada dalam ilmu Allah sahaja. Yang penting, pengundi Kemaman sudah bersedia mengundi PAS dan menambahkan satu lagi angka kosong untuk calon BN di Parlimen Kemaman insya-Allah.

Nanti ada yang urut dada sambil berkata: ‘Mujur aku dok tanding. Kalu tidak 3 utir telor aku bulih’. – HARAKAHDAILY 21/11/2023

Penulis adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Kemaman.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!