Wujud kembali gabungan negara Islam, boikot produk Israel

CYBERJAYA: Palestin telah menerima gelombang sokongan masyarakat antarabangsa yang luar biasa bukan sahaja dalam kalangan negara-negara umat Islam, bahkan juga daripada negara bukan-Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau negara Islam yang bersuara hanya sikit melainkan Iran, Turki dan Qatar walaupun dalam keadaan berdiplomasi serta Algeria.

“Negara-negara ini, yang lain itu kendur termasuk Malaysia agak kendur kenyataannya. Namun kita melihat protes rakyat, sangat hebat. Di Amerika sendiri, yang paling kuat menyokong Israel 100 peratus, di England.

“Sehingga demonstrasi makin hari makin ramai. Saya dimaklumkan ada yang letak jawatan kerana protes terhadap sikap rakyat mereka yang tidak berperikemanusiaan. Ini satu situasi politik yang sangat menarik.

“Di mana isu Palestin mendapat simpati. Bukan sahaja umat Islam termasuk mereka yang berperikemanusiaan. Yang paling menarik ada negara Amerika Latin, putus hubungan diplomatik dengan Israel. Negara Amerika Latin bukan negara Islam. 

“Tapi ada negara Islam yang masih ada hubungan diplomatik. Masih agak-agak malu nak putus hubungan diplomatik. Ini berlaku malanglah. Tapi tak apalah. Yang pentingnya kita manfaatkan gelombang masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berucap demikian pada Bicara 2 Tokoh Negarawan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membicarakan tajuk ‘Masa Depan Palestin: Apakah Perlu Dilakukan?”, di sini tengah hari tadi.

Beliau menyeru agar dihidupkan lagi gabungan negara Islam untuk menghadapi isu yang mencabar ini sebagaimana idea pernah diusahakan bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan.

Jelas beliau, cadangan menubuhkan G8 melibatkan gabungan lapan negara Islam daripada Asia, Afrika dan Arab itu untuk membina satu kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan.

Katanya, sungguhpun usaha itu gagal, Tun Dr Mahathir kemudiannya turut pernah mengadakan sidang seumpama di Kuala Lumpur, namun hanya empat negara sahaja hadir iaitu termasuk Qatar, Iran dan Turki.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu berharap, demi agenda umat usaha sedemikian akan tetap diusahakan untuk diteruskan atau dilangsungkan antara negara-negara umat Islam.

Tun Mahathir dalam ucapannya menyeru agar umat Islam menolong orang Palestin yang disifatkannya menjadi mangsa ketidakadilan dan kezaliman Israel serta penyokong-penyokong mereka seperti Amerika Syarikat dan bangsa-bangsa Eropah lain. 

“Kita bergerak mungkin tak begitu kuat. Kita tidak dapat hantar tentera untuk lawan dengan Israel. Tapi sedikit sebanyak kita boleh tolong rakyat Palestin. Dan satu caranya ialah memberi bantuan kepada orang Palestin. 

“Selain daripada itu kita turut boleh juga boikot barangan Israel jangan minum. Jangan minum Coca-Cola. Jangan minum kopi Starbucks boikotkan produk-produk Israel ini bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia. 

“Mungkin ada orang Islam yang tidak akan lakukan perkara ini, tetapi kita mempunyai 1.7 bilion orang Islam. Kalau separuh ataupun suku daripada 1.7 bilion ini berhenti minum Coca-Cola, minum Starbucks

“Saya yakin Israel akan faham kekuatan yang ada kepada orang Islam,” ujarnya mengajak meneruskan derma kepada Palestin dan memboikot produk Israel sebagai mendera mereka atas kejahatan dilakukan. – HARAKAHDAILY 20/11/2023

Advertisement