KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tidak mempunyai program latihan keusahawanan secara khusus dalam bidang kecerdasan buatan.
Walau bagaimanapun, kata KUSKOP dalam memastikan bakal usahawan lebih bersedia dengan perkembangan teknologi semasa, kementerian itu telah memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan platform digital bagi memperluaskan akses pasaran melalui beberapa program.
Menurutnya, antaranya melaksanakan Kursus Asas Keusahawanan (KAK) di bawah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang memfokuskan kepada modul-modul latihan merangkumi pengurusan operasi perniagaan dan aktiviti pemasaran serta aspek jualan secara dalam talian.
Di samping itu, tambahnya, menawarkan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) melalui TEKUN Nasional bertujuan menyediakan modal pembiayaan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan secara atas talian.
Selain itu, jelasnya Skim SME Technology Transformation Fund (STTF) diperkenalkan melalui SME Bank yang menyediakan pembiayaan kepada PMKS untuk meningkatkan penggunaan digital dalam operasi perniagaan.
Katanya lagi, Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan mengenai pendigitalan perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil dan memberi pendedahan kepada bakal usahawan mengenai ilmu perniagaan termasuk pendigitalan pemasaran melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp.
KUSKOP menyatakan demikain dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Hassan dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan perancangan Kementerian dalam melatih bakal usahawan agar menguasai ilmu perniagaan dan pemasaran terkini terutamanya melibatkan kecerdasan buatan yang semakin maju berkembang ketika ini. – HARAKAHDAILY 20/11/2023