PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan ketika ini digesa segera menggubal dan meminda Perlembagaan Negara bagi memastikan seluruh sistem dan enakmen di Mahkamah Syariah tidak akan diganggu gugat.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyatakan janji akan menyokong penuh bagi mencukupkan sokongan dalam Dewan Rakyat.
Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, isu Islam dan kedaulatan Islam, serta kestabilan negara dan juga keamanannya adalah paksi yang mesti didukung oleh semua pihak.
“Apa yang sedang berlaku hari ini usaha sedikit demi sedikit oleh golongan-golongan yang tidak puas hati berusaha untuk menggugat kestabilan, mengganggu gugat perundangan Islam.
“Islam merupakan agama dilaksanakan dalam negara Persekutuan sebelum adanya undang-undang Inggeris. Maka kerana itu kita perlu mengembalikan kedudukan Islam sebagai agama dan sebagai hukuman.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut melontarkan peringatan amaran kepada semua pihak bahawa himpunan tersebut bukan yang pertama sekiranya ada ancaman berterusan kepada sistem perundangan Islam.
“Jutaan ummah akan berhimpun nanti insyaAllah. Yang kedua, kita beri peringatan, (bahawa) menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam tanpa mengira parti-parti politik tanpa mengira kedudukan, tanpa mengira siapa kita.
“(Kita) bertanggungjawab untuk mempertahankan menegakkan dan melaksanakan seluruh sistem perundangan Islam. Kerana ia merupakan sebahagian penting asas perundangan Islam berada di bawah persoalan akidah yang tidak boleh terpisah satu sama lain,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!