
TEL AVIV: Siapakah sebenarnya ahli perniagaan Israel, Abraham Rami Ungar yang kapalnya telah dirampas oleh pejuang Houthi Yaman di Laut Merah?
Menurut laporan Haaretz, Ungar merupakan salah seorang individu terkaya di Israel, dengan jumlah nilai bersih kekayaan melebihi AS$2 bilion (RM9.34 bilion).
Beliau adalah seorang mogul perkapalan antarabangsa, pengasas Ungar Holdings LTD dan pengasas serta pemilik Ray Shipping LTD, salah sebuah syarikat pengimport kenderaan bermotor terbesar di Israel.
Ungar lulus dari Fakulti Undang-undang, Universiti Tel Aviv dan menerima gelaran kehormat Doktor Honoris Causa dari Akademi Tentera Laut Nikola Y. Vaptsarov.
Beliau juga mempunyai sejarah hubungan rapat dengan ahli politik sayap kanan Israel dan turut disyaki merupakan anggota Mossad.

Terdahulu, pejuang Houthi Yaman yang disokong Iran berkata Ahad bahawa mereka telah merampas sebuah kapal di Laut Merah, milik seorang ahli perniagaan Israel itu.
Angkatan Tentera Israel (IDF) juga mengesahkan berita itu kemudian, dan menyebut perbuatan itu sebagai ‘kejadian yang sangat serius di peringkat global’
Menurut laporan yang belum disahkan dalam media Iran, pejuang Houthi mendarat di atas kapal dengan helikopter dan mengemudi kapal dengan 25 anak kapal berbilang warga negara ke arah pantai Yaman. – HARAKAHDAILY 20/11/2023