Selesai segera isu kekurangan anggota bomba

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang kini kira-kira 15,000 anggota berbanding 33 juta penduduk negara ini dibangkitkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sendiri menyatakan masalah itu yang dilaporkan oleh media massa.

- Advertisement -

Katanya, masalah itu dilaporkan agak serius dengan Selangor menjadi negeri paling tinggi dilaporkan menghadapi kekurangan anggota.

“Berdasarkan populasi rakyat Malaysia seramai 33 juta orang dan jumlah anggota bomba kira-kita 15,000 orang, nisbahnya ialah seorang anggota kepada 2,238 penduduk. Ini adalah nisbah yang sangat membebankan anggota bomba,” katanya.

Bercakap ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau ingin tahu usaha yang dilakukan oleh kementerian untuk mengatasi masalah itu.

Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat turut membangkitkan masalah kekurangan jentera penyelamat di beberapa negeri dan mahu mengetahui tindakan kementerian untuk mengatasi isu ini.

“Kita sedang berdepan Monsun Timur Laut, apakah perancangan kementerian untuk memperkemaskan jentera bomba yang masih kurang,” katanya.

Beliau juga meminta kementerian memberi perhatian terhadap aspek kebajikan anggota bomba ketika musim banjir.

“Saya ada satu contoh, seorang penduduk Alor Setar yang menjadi anggotaa bomba, tetapi berkhidmat di Pulau Pinang, dia kena bertugas menjaga banjir di Pulau Pinang, tapi rumahnya sendiri di Alor Setar dilanda banjir.

“Dia tak dapat balik ke rumah untuk bantu urusan pindah rumah. Dia anggota yang bagus kerana utmakan urusan kerja, tetapi apakah inisiatif kementerian untuk membantu anggota yang berdepan musibah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut bertanya sama ada kementerian bercadang menaikkan had nilai tuntutan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah yang kini hanya RM50,000 sedangkan banyak kes yang dihadapi oleh pembeli rumah melebihi nilai itu.

“Adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan angka itu kepada jumlah yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!