
CYBERJAYA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanyalah bersifat ‘Oh I See’ (‘Oh begitu’) semata-semata dalam melihat dan menangani isu Palestin khususnya konflik Hamas-Israel yang tercetus sejak 7 Okt lalu itu.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, OIC masih tidak dapat membuat apa-apa solusi dalam menghadapi isu konflik antara Palestin dengan Israel buat masa ini.
“(Orang) Yahudi Zionis Israel telah banyak melakukan pelbagai kezaliman terhadap rakyat Palestin tetapi tidak diambil apa-apa tindakan oleh OIC.
“Itu sebabnya sekarang OIC hanya menjadi Oh I See sahaja lebih-lebih lagi apabila orang-orang Yahudi terus melakukan pelbagai kezaliman,” katanya ketika berucap di Majlis Serahan Dana AID4 Palestine, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengerusi AID4PALESTINE, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurutnya, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menyatukan umat Islam dalam menghadapi isu tersebut yang mana beliau memuji tindakan Mahathir yang tidak sesekali pun mengubah pendiriannya mengenai Palestin.
Beliau juga memuji usaha-usaha Mahathir dalam mengembalikan semula kekuatan umat Islam termasuklah dalam cubaan mengembalikan semula ekonomi Islam berasaskan penggunaan wang dinar dan dirham.
“Kita sama-sama ambil kesempatan untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin termasuklah pelbagai gerakan solidariti antarabangsa yang mengutuk kekejaman negara haram Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!