PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh lain berhubung petisyen untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 18 Seksyen Kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Keputusan penangguhan itu dibuat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat selepas mendengar hujahan daripada peguam-peguam pemerhati dan sahabat mahkamah atau Amicus Curiae.
Lapan lagi panel hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Selain itu Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Dalam prosiding tersebut Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Sisters In Islam (SIS) hadir selaku sahabat mahkamah.
Manakala peguam pemerhati diwakili Badan Peguam Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islan Negeri Sembilan (MAINS) dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Pempetisyen diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar.
Hadir sama mengikuti kes tersebut Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, timbalannya Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota-anggota Exco kerajaan Kelantan dan wakil-wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 20/11/2023