
SANA’A: Pejuang Houthi Yaman dilaporkan telah merampas kapal kargo milik bersama seorang jutawan Israel di Laut Merah dan menawan sekumpulan anak kapal.
Pegawai pertahanan Amerika Syarikat dalam kenyataannya pada Ahad (19 Nov) berkata, pejuang Houthi Yaman dikatakan ‘turun dari helikopter’ ke kapal berkenaan yang dikenali sebagai Galaxy Leader dan seramai 25 anak kapal dijadikan tebusan.
UK Maritime Trade Operations berkata, rampasan kapal itu berlaku 145 kilometer (90 batu) di luar pantai Yaman, di mana Houthi berpangkalan, berhampiran pantai Eritrea, lapor News.sky.
Sementara pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata anak-anak kapal tersebut terdiri daripada pelbagai negara termasuk Bulgaria, Filipina, Mexico dan Ukraine, tetapi tiada dari kalangan warga Israel.
Dalam pada itu, wakil Houthi berkata, mereka melayan anak-anak kapal berkenaan ‘mengikut nilai Islam’ tetapi tidak mengulas lanjut.
Walaupun pegawai Israel menegaskan kapal itu adalah milik British dan dikendalikan oleh Jepun, butiran pemilikan dalam pangkalan data perkapalan awam mengaitkan pemiliknya dengan Ray Car Carriers, yang diasaskan oleh bilionair Israel, Abraham Rami Ungar.
Ungar memberitahu Associated Press (AP) bahawa beliau menyedari tentang kejadian itu tetapi tidak dapat mengulas kerana sedang menunggu butiran lanjut. – HARAKAHDAILY 20/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!