Cukai ekonomi bawah tanah gagal dikutip

Datuk Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR: Kegiatan ekonomi bayangan adalah merangkumi aktiviti ekonomi yang tidak sah di sisi undang-undang seperti sindiket jenayah atau dikenali sebagai ekonomi bawah tanah.

Advertisement

Menurut Kementerian Kewangan, ia juga termasuk sektor formal tidak didaftarkan seperti perniagaan dalam talian, pempengaruh (influencer), urus niaga tunai tanpa rekod (cash economy) dan pekerja sambilan yang tidak melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Katanya, hasil pendapatan daripada aktiviti ekonomi bayangan adalah antara cukai yang gagal dikutip oleh pentadbir cukai disebabkan aktiviti mereka tidak dapat dikesan.

“Ekonomi bayangan wujud di setiap negara sama ada maju ataupun membangun termasuk Malaysia,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Amzad dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah yang telah dirangka dan akan dilaksanakan oleh kementerian bagi mengutip cukai daripada sektor ekonomi bayangan atau black economy yang dianggarkan menyumbang sekitar 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut kementerian itu lagi, aporan daripada Kementerian Kewangan (MOF) – Economic Outlook bagi tahun 2021 dan 2023 menunjukkan bahawa saiz shadow economy menunjukkan kadar penurunan.

Katanya, secara puratanya, bagi tempoh 2010 hingga 2019 saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah dianggarkan 21.2 peratus berbanding tempoh 2000-2009, di mana saiz ekonomi bayangan adalah 30.2 peratus berbanding KDNK negara. – HARAKAHDAILY 20/11/2023