Syariah dicabar: 14 peruntukan takzir juga boleh terkesan

- Advertisement -

KUALA NERUS: Tindakan pihak tertentu mencabar peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 Kelantan mempunyai hubungan yang signifikan dengan Enakmen Kesalahan Syariah (Takzir) Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Abdul Hadi berkata, ini kerana terdapat persamaan peruntukan antara kedua negeri tersebut.

“(Terdapat) 14 daripada 20 peruntukan yang dicabar itu ada dalam peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri kita. Sedikit sebanyak keputusan kepada kes itu akan memberi impak kepada perundangan Syariah di negeri kita,” ujarnya.

Seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid telah bertindak mencabar 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 Kelantan di mana penghakiman kes akan keputusan di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, 20 November ini.

Cabaran seumpama yang pernah berlaku dalam kes Iki Putra Mubarak sebelum ini menyebabkan satu inisiatif Himpunan Pertahan Syariah akan diadakan di hadapan premis sama pada jam 9:00 pagi tarikh sama.

Jelas Dr Khalil, Enakmen Kesalahan Syariah (Takzir) Terengganu pindaan 2022 telah diluluskan oleh DUN Terengganu pada 1 Disember 2022 diwartakan pada 23 Februari 2023 dan akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2024. 

“Pindaan yang telah dibuat terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) kita memfokuskan kepada beberapa perkara. Antaranya memaksimum takat hukuman menurut bidang kuasa jenayah syariah yang diberikan oleh Akta 355.

“Iaitu meningkatkan kadar hukuman sebanyak 17 seksyen kesalahan. Selain itu, pindaan ini juga mengambil kira isu sosial seperti LGBT, yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya kepada orang Islam,” ujarnya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau semasa berucap pada Wacana Perundangan Syariah Negeri Terengganu yang telah dilangsungkan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus, di sini kelmarin.

Antara pindaan yang dibuat beritahunya, adalah menambah baik peruntukan berkaitan lelaki berpakaian dan berlagak seperti perempuan serta dengan memasukkan peruntukan baharu bagi perempuan yang berpakaian yang berlagak seperti lelaki.

Begitu juga maklumnya, bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan di mana jika dahulu hanya penjual sahaja yang dikenakan tindakan, dengan pindaan dibuat membolehkan orang yang membeli juga boleh dikenakan tindakan. 

Selain dari itu menurutnya, garis panduan hiburan, persembahan, kebudayaan, pelancongan dan sukan negeri Terengganu yang telah dilancarkan pada tahun 2020 akan terus diguna pakai sebagai satu panduan patuh syariah.

Iaitu katanya, kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi terlibat untuk melaksanakan program yang selaras dengan ketetapan hukum syarak telah ditetapkan di negeri ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -