PRK Parlimen Kemaman jadi tumpuan, bermula hari ini

- Advertisement -

KEMAMAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menjadi perhatian kepada rakyat yang sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air.

- Advertisement -

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari ini adalah penamaan calon bagi PRK itu yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai yang dibuka jam 9.00 pagi.

Proses penamaan calon sedang berlangsung.

PAS telah memutuskan Naib Presiden yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PRK Parlimen Kemaman.

Perarakan calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL bermula dengan berhimpun di Surau Kampung Jaya dan mengadakan solat hajat sekitar jam 8.00 pagi yang diimamkan oleh Bendahari PAS Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon yang turut disertai Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Menurut SPR, PRK Parlimen Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!