KOTA BHARU: Hampir RM520,000 berjaya dikutip melalui program Himpunan Solidariti Klate Palestin yang diadakan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV petang tadi. .
Program yang dianjurkan Usahawan Kelantan Prihatin itu juga menarik kunjungan seramai 10,000 peserta pada program yang julungkali pernah diadakan oleh persatuan itu biarpun dalam keadaan hujan yang bermula sejak malam tadi.
Bendera gergasi terbesar di Kelantan berukuran 40×70 kaki turut dikibarkan beramai-ramai pada majlis itu dengan diiringi takbir berulang kali oleh rakyat Kelantan pelbagai peringkat.
Pengerusi Persatuan, Datuk Mohd Rowi Dollah ketika ditemui pada majlis berkenaan melahirkan rasa terharu di atas kehadiran yang amat luar biasa biarpun hujan lebat.
Katanya, kutipan yang diperolehi melebihi jangkaan iaitu sebanyak RM250,000.
“Alhamdulillah semangat masyarakat kita terhadap saudara kita di Palestin dan inilah yang kami buat sebagai mengambil tanggungjawab sesama Islam untuk membantu mereka di sana,” katanya.
Beliau turut memberitahu, seramai 800 usahawan di Kelantan hadir memberi sokongan pada program berkenaan termasuk yang berada di luar Kelantan.
Menurutnya, seramai 30 petugas bertungkus-lumus untuk menjayakan program berkenaan menerusi pelbagai acara, termasuk persembahan pentas.
Pelbagai acara dianjurkan sempena program berkenaan termasuk santai petang bersama rakyat Palestin Yousef K.O Abu Assi Sheikh Kyaider Syamzarey Wan Idris dan Mohd Afif Fauzi yang menceritakan pengalaman masing-masing sewaktu berada di Palestin.
Sementara itu, sketsa pelajar sekolah rendah yang digelarkan ‘tiga beradik’ dan rakan-rakannya berjaya mencuit hati penonton apabila menggambarkan bagaimana situasi ketika belajar, tiba-tiba diserang tentera Israel.
Lagu Atouna El Toufoule versi Melayu turut dinyanyikan dinyanyikan salah seorang kanak-kanak berkenaan membuatkan yang hadir mengalir air mata.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad diberi penghormatan merasmikan Usahawan Kelantan Prihatin yang baru seminggu ditubuhkan.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Eksekutif PKINK Datuk Zamri Ismail. – HARAKAHDAILY 18/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!