UMK jalin kerjasama universiti ternama di Jepun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kyushu University (KU) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di negara matahari terbit itu hari ini.

- Advertisement -

Perjanjian merangkumi kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar serta staf untuk kerjasama di peringkat antarabangsa.
 
MoU berkenaan ditandatangani Naib Cancelor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak dan Dekan Fakulti Pertanian, Kyushu University, Prof. Dr. Miki Nakao, yang diadakan di Bandar Fukuoka.

Kerjasama bersejarah itu turut disaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pengarah Pejabat Antarabangsa Kyusyu University, Prof. Dr. Igura Noriyuki.
 
Prof Razli berkata dengan terjalinnya kerjasama tersebut akan memperkukuhkan hubungan yang sudah lama terjalin antara UMK dan KU bermula tahun 2018.

Menurutnya, kerjasama tersebut pada peringkat awal melibatkan penyelidik dari kedua-dua universiti terbabit.

Beliau berkata, kerjasama itu menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh artikel jurnal berimpak tinggi termasuk perkongsian sumber melibatkan pertukaran sampel serta perkhidmatan analisis.

“Kerjasama baharu kedua-dua universiti bersetuju meneruskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan penerokaan ruang kerjasama baharu termasuk perkongsian sumber seperti fasiliti, bahan dan dana penyelidikan.

“UMK optimis membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara kedua universiti dan tidak terhad hanya kepada penyelidikan malah melibatkan pertukaran pelajar, mobiliti pelajar dan staf serta pelbagai lagi,” katanya pada kenyataan.

Sementara itu, Prof Arham berkata, KU antara universiti yang direkodkan berada pada kedudukan teratas ranking antara universiti terbaik di Jepun.

Katanya, KU mempunyai reputasi yang amat baik di dunia memberi kelebihan kepada penyelidik UMK dan akses kepada fasiliti, infrastruktur serta teknologi di KU.

“Melalui kerjasama kami ini dapat meningkatkan reputasi dan keterlihatan penyelidik UMK melalui penerbitan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi.

“Pada lawatan kerja ini turut diadakan seminar pendek mengenai UMK dan perhutanan, industri perhutanan dan kayu di Malaysia yang dihadiri profesor, penyelidik dan pelajar KU,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Dekan FBKT, Prof. Madya Dr Sarizam Mamat dan Dr Andi Hermawan, iaitu antara penyelidik yang banyak terlibat dengan kerjasama antara penyelidik di KU terutamanya dalam bidang sains dan teknologi kayu.

Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Sarizam berkata, perbincangan untuk kerjasama dengan Osaka Universiti diadakan bagi penerokaan bidang kerjasama baharu dalam bidang additive manufacturing.

Perbincangan terbabit dihadiri Timbalan Presiden Osaka Universiti, Prof. Dr. Manabu Tanaka dan Prof Dr. Katsuyoshi Kondoh dan Prof Arham.

Beliau memaklum kerjasama terbabit lebih menjurus kepada pembiayaan penyelidikan melalui geran padanan dan pengenalan beberapa dana yang disediakan oleh Osaka Universiti.

“Skim Geran padanan dan dana yang ditawarkan boleh dimanfaatkan oleh penyelidik UMK bagi membiayai penyelidikan di UMK dan Joining and Welding Research Institute (JWRI), Osaka Universiti.

“Ini adalah hasil kolaborasi dan aktiviti penyelidikan sejak tahun 2012 di mana satu Memorandum Kerjasama (MoA) yang ditandatangani antara UMK dan JWRI pada Disember 2019.

“MoA merupakan kesinambungan kepada aktiviti kerjasama penyelidikan selama ini dan diharap dapat menjadi titik tolak kepada ruang kerjasama yang lebih luas melibatkan lebih ramai penyelidik dari UMK,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2023