KEMAMAN: Kepimpinan negara dilihat was-was dan keliru apabila tidak dapat memberikan satu dukungan yang kuat kepada perjuangan rakyat Palestin ketika mana seluruh dunia bangkit bersolidariti dan simpati.
Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa membidas kepimpinan kerajaan hari ini yang masih terikat dengan ungkapan-ungkapan seperti jalan-jalan penyelesaian dua negara (two state solution).
“Secara tidak langsung seolah-olah mahu mengiktiraf kewujudan Israel. Bercanggah dengan dasar negara, negara tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel. Daripada dulu rakyat Malaysia menganggap Israel negara haram.
“Penyelesaian dua negara ‘two state solution’ bukan cara, bukan kaedah, bukan dasar yang kita dukung. Bagi kita Israel mesti diganyang, dilunyaikan dan dinyahkan daripada muka bumi ini.
“Kerana mereka adalah sebuah kerajaan ciptaan kelompok-kelompok Barat selepas perjanjian Balfour dalam tahun 1948. Kita tidak boleh memberikan apa juga bentuk pengiktirafan kepada Israel secara langsung atau tidak langsung.
“Tetapi malang kepimpinan negara termasuk dari Sidang OIC gabungan negara-negara Islam semacam tidak dapat memberikan impak yang sewajarnya. Malah kepimpinan Indonesia kelihatan lebih tegas dan menyerlah,” ujarnya.
Bekas Setiausaha Agung Umno itu berucap pada Ceramah Perdana dan Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK P.040 Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini malam tadi.
Maka katanya, dalam situasi ini tamparan kepada umat Islam itu, saf perjuangan PAS dan Perikatan Nasional (PN) mesti dirapat dan diperkukuhkan untuk terus menjadi harapan kepada ummah.
“Juga untuk menunjukkan kepimpinan dan pendirian yang lebih jelas dan lebih tegas di saat undang-undang Syariah dicabar. Parti-parti politik Melayu dan Islam dalam kerajaan semacam membisu.
“Sedangkan ini tamparan yang hebat atas apa yang ada dalam Perlembagaan, Islam sebagai agama rasmi tetapi kedudukan undang-undang Syariah sudah mula diperkotak-katikkan.
“Kita lihat parti-parti dalam kerajaan lebih-lebih lagi Umno, sekali lagi menjadi parti politik kembiri dan dalam nada yang bisu kita dengar bagaimana budaya songsang yang cuba dibawa masuk antaranya konsert Coldplay.
“Kita tidak dengar suara daripada Umno dan Barisan Nasional untuk membuat penegasan dan pendirian sedangkan negara lain konsep ini telah diharamkan sama sekali.
“Begitu juga di saat liberalisme sedang merebak, sewaktu sekularisme makin diperhebatkan, kita dapati parti-parti politik terutamanya Umno semacam telah dikembirikan oleh rakan-rakan di dalam gabungan Kerajaan Madani,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat tidak suka kepada sikap acuh tidak acuh serta pendirian takut untuk memberi sokongan kepada pejuang-pejuang HAMAS yang menentang Israel dan membiarkan liberalisme dan sekularisme terus membiak.
Juga rakyat tegasnya, tidak mahu undang-undang syariah terus dipermainkan dan dipersendakan, selain nasib orang Melayu menjadi permainan oleh para pemimpin Kerajaan Madani hari ini. – HARAKAHDAILY 17/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!