Gerakan ‘Buy Muslim First’ alternatif sistem riba

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Buy Muslim First (BMF) perlu diperluaskan di peringkat global sebagai alternatif sistem riba yang diterapkan melalui sistem perbankan.

- Advertisement -

Penggerak utama kempen BMF Mohd Fadzil Hashim berkata, penciptaan matawang yang ada sekarang adalah berasaskan sistem riba.

“Ramai orang berfikir bahawa bank mencipta wang dengan memberi pinjaman menggunakan duit-duit pelanggan tetapi sebenarnya mereka silap.

“Ini kerana setiap bank mencipta wang apabila seseorang itu mengambil mana-mana pinjaman dan setelah mendapat kelulusan maka di situ wang dicipta dengan sendirinya,” katanya di sini.

Menurut beliau, wang yang ada dalam peredaran ekonomi hanya dicipta melalui pinjaman-pinjaman yang dilakukan sama ada oleh rakyat atau kerajaan.

Katanya ia berbeza dengan sistem kewangan Islam seperti disebut Ibnu Khaldun, seseorang hanya memperoleh wang melalui hasil usaha.

“Di sini kita boleh melihat adanya unsur riba dalam penciptaan wang kerana setiap bank termasuk Islamik mencipta wang melalui hutang berdasarkan pinjaman yang diberikan kepada pelanggan,” katanya.

Perkara itu turut dinyatakan mantan perbankan Islamik Mohd Zahid Abdul Aziz dalam bukunya bertajuk Pengakuan Seorang Perbankan Islam (Confession of an Islamic Banker).

Beliau menyatakan memberi hutang merupakan satu-satunya cara setiap bank mencipta wang dan mengambil sebarang keuntungan.

Oleh itu Fadzil berkata, kempen Buy Muslim First Global perlu digerakkan secara meluas dengan mencipta sistem kewangan berasaskan sunnah tanpa ada unsur riba. – HARAKAHDAILY 17/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!