Anwar lebih teruk, rakyat kecewa tiada ‘Reformasi’ dan janji

- Advertisement -

KEMAMAN: PRK P.040 Kemaman dilihat akan membuahkan gelombang kebangkitan rakyat khususnya untuk menolak rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam Kerajaan Madani hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelombang tersebut bakal terjadi disebabkan oleh kekecewaan rakyat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kerana mereka mengharapkan bahawa sekurang-kurangnya kepada Perdana Menteri melaksanakan apa diperjuang waktu dia ditendang, dipecat daripada Umno, dibuat gelombang ‘Reformasi’, berbagai-bagai janji dibuat.

“Rakyat melihat bahawa kalau dia naik sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya dilaksana apa yang disebut, diperjuang di zaman dia. Tetapi ternyata bila naik sebagai Perdana Menteri dia lebih teruk daripada yang sebelum-sebelumnya.

“Tengok bagaimana zaman Tun Mahathir apa yang pimpinan PAN sekarang tak kata pada Tun Mahathir (Mohamad) masa itu? Maha Zalim, Maha Firaun, macam-macam maha. Tapi mereka tak didakwa, mereka tak ditangkap, mereka tak disiasat pun.

“Hari ini, cakap sikit terus polis sampai depan rumah. Tulis sikit, dalam TikTok, serang sikit terus sampai. Ternyata apa disebut ‘Reformasi’ bagi memberi ruang kepada rakyat mengeluarkan pandangan dan sebagainya ternyata tidak dilaksanakan.

“Bahkan lebih teruk dan kita lihat bagaimana sikap terhadap dasar polisi luar negara. Dalam Parlimen, Ahli Parlimen kita bawa usul untuk dibahas bagi mengutuk tindakan Zionis dan mengadapkan Perdana Menteri Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Usul kita ditolak, yang dia buat ialah kenyataan Menteri. Kena faham kenyataan Menteri dengan usul jauh langit bumi beza dia,” ujarnya pada Ceramah Perdana dan Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK P.040 Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini malam tadi.

Oleh itu beliau menyifatkan Perdana Menteri hari ini langsung ‘tidak boleh disentuh’ di mana pengkritiknya akan berhadapan dengan tindakan polis, sebagaimana juga dialami Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Siti Mastura hanya dedahkan maklumat daripada sumber Barisan Nasional (BN) di mana DAP terus bertindak membuat laporan polis terhadap Mastura, tidak kepada BN.

Ustaz Tuan Ibrahim turut mengungkap masalah besar dihadapi Terengganu yang tidak mendapat royalti petroleum sejak zaman BN ketika PAS menang tahun 1999, namun perkara itu tidak diperbetulkan Anwar.

“Sepatutnya bila naik PMX, dia membetulkan yang tak betul. Sebelum ini zaman BN bila kita menang tahun 1999 royalti dibatalkan, ditukar dalam bentuk wang ehsan kononnya Terengganu tak layak dapat royalti. Kerana telaga minyak ditemui luar 3 batu nautika.

“Eh tiga batu nautika ni sejak tahun 1999 kah? Kenapa sebelumnya ada royalti? Waktu perjanjian dibuat tak timbul pun soal 3 batu nautika. Kita mengingatkan, nak jadi Perdana Menteri, dia membetulkan yang tak betul.

“Rupanya lagi teruk, langsung di tak diberi royalti. Maknanya, Terengganu terpaksa berusaha untuk kita bina kekuatan kita dan membuat tuntutan-tuntutan terhadap hak rakyat negeri Terengganu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!