Projek terbengkalai punca kemalangan jalan raya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Krai-Gua Musang serta Laluan Pasir Puteh-Kota Bharu ada sebahagiannya terbengkalai.

- Advertisement -

Ia berbeza dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang semakin rancak, di mana struktur tiang boleh dilihat di Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ada sebahagian projek terbengkalai sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.

Kata beliau sekiranya projek tersebut tidak diteruskan segera dipercayai lebih banyak kemalangan jalan raya berlaku memandangkan struktur pembinaan banyak terdapat di tepi jalan.

“Berlaku kesesakan begitu teruk di laluan Pasir Puteh-Kota Bharu di persimpangan Melor, di mana projek saya sifatkan sebagai projek terbengkalai.

“Malah pernah berlaku kemalangan antara lori memuat besi dan simen di jambatan sempit sehingga meragut nyawa.

“Sejauh mana pemantauan dibuat agensi berkaitan terhadap projek terbabit yang dikendalikan kontraktor,” katanya di sini.

Menurutnya juga jaringan jalan raya di Kelantan secara keseluruhan masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Kata beliau biarpun jalan kurang sempurna, namun setiap hujung minggu dan cuti persekolahan banyak lokasi berlaku kesesakan teruk dengan deretan kenderaan dari luar Kelantan.

“Sudah tiba masanya kerajaan Pusat merangka perancangan struktur jalan raya baharu di Kelantan bagi melancarkan aliran lalu lintas,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!