KUALA LUMPUR: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji usaha meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi lebih kuasa lebih kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) sangat mengecewakan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pada 28 Ogos lalu supaya jawatankuasa khas segera ditubuhkan untuk membuat kajian yang memberi kuasa kepada negeri menggubal undang-undang syariah.
Namun, katanya jawapan yang diterima daripada menteri berkenaan menggambarkan ketidakseriusan kerajaan berhubung cadangan Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) .
“Kerajaan sedang mengambil tindakan untuk menubuhkan jawatankuasa khas tersebut, jawapan ini pada saya merupakan satu perkara yang sangat mendukacitakan, dalam masa dua bulan baru tahu keputusan.
“Ini jawapan bertulis dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sedang mengambil tindakan bagi menubuhkan sedangkan titah baginda bertitah agar dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, perkembangan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan tidak serius serta tidak proaktif terhadap isu mengenai cabaran terhadap pengubalan Enakmen Jenayah Syariah peringkat negeri.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya perlu lebih proaktif dan cakna terhadap sebarang permasalahan yang dibangkitkan khususnya seorang Ketua Kerajaan Negeri.
Bukan sahaja masalah tersebut, katanya perlantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengantikan Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub belum diketahui sehingga kini.
Katanya, apa yang berlaku sekarang lebih-lebih lagi cabaran terhadap peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 itu memerlukan tindakan yang tuntas oleh kerajaan.
“Terbukti pula dalam kes ini menunjukkan kerajaan pada hari ini sangat perlahan dalam tindakan yang kalau kita boleh sebutkan kerajaan yang tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
“Saya mendesak supaya kerajaan ambil tindakan yang serius dalam membentuk Jawatankuasa Khas ini untuk mengkaji bidang kuasa kerajaan negeri, harap kerajaan bertindak lebih serius,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!