ARAU: Gabungan Pengilang Beras Malaysia mencadangkan lima solusi bagi menyelesaikan masalah bekalan benih padi.
Pengerusinya, Marzukhi Othman berkata, masalah tersebut bakal memberi kesan kepada hasil pengeluaran musim kedua tahun ini sekali gus menyebabkan risiko jumlah belian padi oleh pengilang.
“Pihak kami menyokong penuh supaya hak dan lesen pengilangan benih padi sah hanya diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja.
“Pengilang benih yang dilantik ini hanya akan membekalkan benih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk tujuan agihan kepada pesawah setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah kilang beras di Simpang Empat, di sini, hari ini.
Katanya lagi, kaedah tersebut mampu menyelesaikan masalah manipulasi bekalan benih dan harga benih tidak terkawal oleh pengeluar benih swasta dan peruncit.
“Stok benih padi juga perlu dibekalkan sebulan awal daripada jadual penanaman bagi membolehkan petani memulakan tanaman padi mengikit jadual.
“Sekiranya pihak GLC tiada kepakaran atau kewangan, mereka berhak melantik vendor lain dengan syarat harganya tidak melebihi harga kawalan,” katanya lagi.
Pihaknya juga berharap agar bekalan benih di setiap PPK tersedia lebih awal supaya tidak berlaku kelewatan seperti yang dijadualkan. – HARAKAHDAILY 15/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!