KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mengadakan kerjasama akademik dan hal ehwal pelajar dengan Universiti Islam Riau (UIR).
Kerjasama itu diadakan melalui perjanjian persefahaman yang disempurnakan Rektor KIAS Prof Emeritus KIAS Dr Ab Aziz Mohd Zain dan Dekan Pengajian Islam UIR Dr Zulkfili M.M.
MoU berkenaan diadakan bertujuan meningkatkan prestasi kedua-dua pusat pengajian terbabit.
Ketibaan rombongan UIR disambut Dr Ab Aziz, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik & Penyelidikan) KIAS Dr Mohd Ramizu Abdullah @ Zakaria dan Pendaftar Mohd Khairil Hazmie Yusof.
Dr Ab Aziz berkata, kerjasama yang bakal terjalin diharap memberi manfaat sepenuhnya kepada KIAS dan UIR.
“InsyaAllah, semoga segala apa yang kita rancang akan memberi natijah yang lebih baik untuk masa depan pelajar,” katanya pada program berkenaan hari ini.
Sementara itu Dr Zulkfili melahirkan penghargaan di atas kesudiaan KIAS mengadakan kerjasama dengan pihaknya.
Beliau berhasrat untuk membawa rombongan dari UIR awal tahun hadapan bagi mengadakan program akademik bersama KIAS.
Pada masa sama beliau turut menjemput KIAS mengadakan lawatan ke UIR bagi melihat lebih dekat struktur UIR pula.
“Kami menunggu kedatangan rombongan KIAS untuk ke tempat kami pula,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/11/2023