JERAI: Cabaran kepada asas-asas Islam telah mulai tumbuh membesar bukan sahaja daripada orang bukan-Islam, tetapi penganut Islam yang pemikirannya telah diracuni dengan fahaman liberal.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, orang Islam seperti itu tidak sayangi lagi anugerah terbesar Allah SWT kepada umat manusia iaitu iman dan ikhlas, maka dicabarnya Islam.
Bidas beliau, mereka itu mencabar dan mempertikai perkara-perkara pokok dan perkara asas dalam Islam hingga mengganggu-gugat ketenteraman khususnya umat Islam di dalam negara ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Memperkasa Undang-undang Syariah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Lestari, Guar Chempedak, di sini sebentar tadi.
“Seminar ini penting untuk kita mencari jalan bagaimana menghadapi cabaran yang makin hari makin besar terhadap perkara-perkara pokok dan asas yang menjadi keutuhan Islam dan amalan-amalannya.
“Ini kerana menerusi al-Quran dan Hadis sebagai pedoman dalam kita mengurus tadbir kehidupan ini, Allah telah menetapkan sekian banyak perintah petunjuk, pedoman hukum hakam untuk kita patuhi sebagai cara hidup atau ad-Din.
“Bagaimanapun oleh kerana penjajahan yang begitu panjang telah mencengkam sebahagian negara-negara umat Islam. Selepas penjajahan ketenteraan, politik dan ekonomi umat negara-negara umat Islam diberi kemerdekaan kemudian itu datang penjajahan dalam bentuk baru.
“Iaitulah penjajahan pemikiran. Penjajah, bukan sahaja telah meletakkan acuan untuk diikuti dan dijadikan dasar kehidupan walaupun secara zahirnya kita rasa kita sebuah negara merdeka,” ujarnya.
Menurut beliau, sistem perundangan sejak merdeka adalah berasaskan British common law dan bukanlah diambil daripada syariat Islam, sedangkan sebelum datangnya penjajah ada di negeri-negeri melaksanakan undang-undang syariah.
Pun demikian katanya, kerap berlaku konflik apabila wujud kelompongan dalam sistem perundangan negara di mana berlakunya pertindihan dan campur tangan bidang kuasa untuk menangani sesuatu kes di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Jelas beliau, sebelum kehadiran penjajah, undang-undang Islam telah pun diterima pakai secara meluas di negeri-negeri Melayu bersekali dengan dengan undang-undang adat yang tidak bercanggah dengan Islam.
Hal tersebut terangnya, menunjukkan undang-undang Islam diamalkan, meliputi undang-undang jenayah, urus niaga atau muamalat, kekeluargaan, pemilikan tanah dan seumpamanya ketika zaman pemerintahan kesultanan Melaka.
“Satu set undang-undang dikenali Hukum Kanun Melaka diperkenalkan dan ini adalah undang-undang berteraskan syariat Islam walaupun undang-undang itu dianggap banyak merujuk kepada undang-undang adat dan bukan keseluruhannya berasaskan undang-undang Islam.
“Intipati perundangan yang diguna pakai cukup untuk menunjukkan prinsip syariah diletak pada tahap tertinggi pada ketika itu. Di Perak ada Undang-undang 99 Perak. Demikian juga negeri lain termasuk Terengganu ketika di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin II.
“(Di mana) telah melaksanakan undang-undang Islam dengan sangat berkesan. Di Kedah sebagai negeri yang paling awal menerima Islam di Asia Tenggara ini pada tahun 1136 sudah tentu ada sistem perundangan Islam yang dilaksanakan.
“Bagaimanapun setakat ini tidak ada manuskrip lama berkaitan perlaksanaan undang-undang itu ditemui melainkan undang-undang Kedah yang bertarikh 1311 Hijrah yang ditulis oleh Kodin bin Kumis,” ujarnya.
Sanusi turut menyatakan mengenai Undang-undang Pelabuhan pada tahun 1650 Masihi ditulis oleh Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan tahun 1667 yang banyak membicarakan isu-isu berkaitan pertanian dan penternakan.
Katanya, amat jelas bahawa Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan telah menerapkan ajaran Islam apabila menyentuh berkaitan larangan mencuri, larangan sabung ternakan, mengambil madat, minum arak, sembah batu atau kayu
Juga senarainya, perintah bertaubat bagi yang ditangkap, hukuman tidak bersolat yang dikenakan berdasarkan takzir dan sekiranya enggan bertaubat pesalah dibawa ke masjid dalam keadaan dikekang lehernya.
“Selain itu, terdapat undang-undang berkaitan zakat, jual beli kerbau dan hukum ke atas pemilik kerbau yang merosakkan pagar, merosakkan tanaman atau menanduk orang.
“Pada zaman Sultan Muhammad Jiwa Saidina Abidin Muadzam Shah II, Sultan Kedah yang ke-19, prinsip syariah dalam undang-undang Kedah yang dikenali sebagai Hukum Kanun Datuk Kota Setar dimantapkan lagi.
“Hal ini disebut dalam buku Salasilah Negeri Kedah. Pada tahun 1893, satu undang-undang mengandungi 40 fasal dikenali sebagai Undang-undang Kedah, telah ditulis oleh iaitu Ketua Penjara Alor Setar.
“Kemudian dilantik sebagai wakil Sultan mentadbir wilayah Setoi di Thailand. Undang-undang Kedah merangkumi peraturan, berkaitan jenayah, kekeluargaan, perdagangan tanah dan hamba abdi.
“Kebanyakan undang-undang ini adalah berasaskan hukum qisas, hudud, takzir dan qias,” ujarnya menegaskan pentingnya melaksanakan cara hidup Islam agar mendapat keamanan dan keharmonian.
Jelas beliau, syariat Islam bukanlah semata-mata mengenai hukuman atau balasan tetapi sebagai medium untuk mendidik, memotivasi, membina keinsafan hingga seseorang yang pernah melakukan kesalahan akan sedar kesalahannya dan bertekad untuk tidak lagi mengulangi kesalahan itu.
Orang yang di sekeliling pula ujarnya, penuh kasih sayang, bertanggungjawab dan kesedaran akan membantu untuk seseorang yang pernah bersalah kembali ke pangkuan masyarakat dalam keadaan baik dan tiada dendam antara mereka.
“Itulah Islam ajaran yang berasaskan kedamaian dan persaudaraan. Sudah terbukti bahawa di mana-mana jua di muka bumi ini apabila pemerintah Islam berkuasa dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, orang bukan-Islam akan dapat hidup keadaan aman damai.
“Sepertimana yang telah terbukti di Andalusia dan wilayah lain di Ibriyah. Apabila Tariq bin Ziyat menakluk Andalusia orang Yahudi yang sebelum itu ditindas oleh pemerintah Kristian dapat hidup dalam keadaan aman damai, tidak seperti sebelumnya.
“Demikian juga di Jerusalam atau Baitul Maqdis, selepas penyerahan kunci oleh paderi Kristian kepada Saidina Umar al-Khattab dan kemudiannya oleh Salahuddin al-Ayyubi selama ratusan tahun orang Islam, Kristian dan Yahudi hidup aman damai.
“Sebelum pencerobohan Zionis pada tahun 1948,” ujarnya meluah perkara sebaliknya sedang berlaku di negara ini apabila wujud usaha-usaha yang dilakukan oleh kalangan tidak bertanggungjawab.
Termasuk mereka itu katanya, adalah ahli-ahli politik yang cuba masuk campur dalam urusan membabitkan hal ehwal orang Islam melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang syariah.
Kesali beliau, tindakan tersebut sudah tentu menyakitkan dan sangat mengganggu urusan umat Islam, justeru kelompongan yang masih wujud dalam undang-undang hingga mengakibatkan berlakunya hal-hal semacam ini perlu segera diatasi.
Kerana katanya, ia dibimbangi akan memudaratkan keadaan hingga boleh menjejaskan keharmonian dan sikap saling menghormati yang dipelihara selama ini dan memastikan kedaulatan tanah air ini dengan Islam dapat dipusakakan kepada generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 14/11/2023
Siapa campur tangan, cabar perundangan Syariah negara?
- Advertisement -