
BEIRUT: Tentera Israel menyasarkan serangan roket terhadap pasukan media dan wartawan yang sedang bertugas di Yaroun, sebuah perkampungan di selatan Lubnan.
Agensi berita rasmi Lubnan, NNA dalam laporannya berkata pada Isnin (13 Nov) bahawa sekurang-kurangnya dua peluru roket dilepaskan ke arah pasukan media yang berada di lokasi kejadian untuk membuat liputan di seluruh kawasan sempadan antara Lubnan dan Israel itu.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan wartawan,” lapor NNA.
Pihak berkuasa keselamatan Lubnan bagaimanapun meminta pasukan media menjauhi kawasan itu kerana bimbang akan kemungkinan ‘pengeboman musuh (Israel) yang lebih meluas’
Jawatankuasa Melindungi Wartawan (PJ) pada minggu lalu mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya 39 wartawan dan pekerja media telah terbunuh di Semenanjung Gaza yang dikepung sejak 7 Okt lepas.
Sementara itu pada awal Isnin (13 Nov), dua rakyat Lubnan terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang melanda sebuah bangunan di bandar Ainata, juga latan Lubnan.
Ketegangan telah memuncak di sepanjang sempadan antara Israel dan Lubnan di tengah-tengah pertukaran tembakan sekejap-sekejap antara tentera Israel dan Hizbullah, dalam pertempuran paling maut sejak kedua-dua pihak berperang secara besar-besaran pada 2006.
Ketegangan sempadan berlaku ketika Israel meluaskan operasi udara dan darat di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh Hamas ke atas bandar sempadan Israel pada 7 Okt. – HARAKAHDAILY 14/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!