Kejatuhan nilai ringgit, perbandingan mata wang negara Asean

Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai ringgit masih dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meminta Menteri Kewangan menyatakan perancangan kerajaan bagi menghadapi masalah kejatuhan nilai mata wang.

Beliau juga meminta menteri berkenaan menyatakan perbandingan nilai Ringgit Malaysia dengan mata wang negara-negara ASEAN pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan hari ini sebagaimana di bawah.

Waktu Pertanyaan Menteri

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Pendidikan menyatakan Standard Operating Procedure atau SOP yang dilakukan oleh pihak sekolah setiap kali berlaku aduan mengenai kes membuli pelajar dan setakat mana kes-kes buli di sekolah dilapor kepada pihak polis serta diambil tindakan di dalam mahkamah.

Pertanyaan Bagi Jawab Lisan

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pendidikan menyatakan status tender pembinaan sekolah Pendidikan Khas di Simpang, Parlimen Bukit Gantang yang dijadualkan akan dibuat pada September 2023. Bilakah pecah tanah ini dijadualkan.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan:

(a) tindakan Kementerian bagi mengawal penyakit Pestalotiopsis yang memberi kesan buruk kepada pengeluaran susu getah dan apakah cara untuk memastikan kos rawatannya tidak membebankan penoreh; dan

(b) langkah yang diambil bagi memastikan harga getah dapat ditingkatkan sesuai dengan kenaikan kos sara hidup pada hari ini.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

(a) apakah skop dan tahap yang digunakan oleh Kerajaan bagi menentukan sesuatu perkara itu tergolong atau tidak dalam konsep 3R; dan

(b) adakah Kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang khusus berkaitan perkara 3R yang dimaksudkan ini.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Kewangan menyatakan rancangan Kerajaan untuk memperbaiki sistem percukaian individu dan korporat dalam negara dan adakah Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan, menaikkan atau menurunkan apa-apa cukai individu atau korporat dan jangkaan kesan terhadap kutipan cukai daripada langkah tersebut.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan dengan lebih spesifik berkaitan status kajian ICQS yang dinyatakan semasa KSP RMK-12 pada 18 September 2023 lepas yang berstatus dalam kajian ketika menjawab soalan tambahan oleh saya.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pendidikan menyatakan:

(a) apakah telah dilaksanakan konsep 1 guru 25 murid di sekolah-sekolah Kementerian sebagaimana telah diwar-warkan; dan

(b) adakah dasar ini masih digunakan atau masih dalam kajian dan bilakah jangkaan untuk dilaksanakan.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Kementerian mempunyai data statistik pertambahan pemilikan kenderaan individu di seluruh negara dalam jangkamasa 5 tahun lepas dan adakah ada perancangan strategik untuk mengawal kadar pertambahan kenderaan tersebut berbanding dengan kemudahan jalanraya sedia ada.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh manakah tenaga bukan guru yang ditugaskan untuk menjaga peperiksaan awam sebab senarai guru untuk menjaga peperiksaan telah diminta.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Kewangan menyatakan perkembangan semakan terhadap Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967, Akta Loteri 1952 dan Akta Pertaruhan 1953 bagi menangani isu perjudian secara komprehensif.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kewangan menyatakan perancangan Kerajaan bagi menghadapi masalah kejatuhan nilai mata wang dan nyatakan perbandingan nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan mata wang negara-negara ASEAN.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Pendidikan menyatakan hala tuju pendidikan negara terkini akan digubal memandangkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bakal berakhir di samping sistem pendidikan yang banyak berubah pasca pandemik COVID-19.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan secara terperinci jumlah penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa di Malaysia ke seluruh dunia semasa pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 berbanding tahun 2022 dan 2023, berapakah jumlah penumpang yang menggunakan penerbangan antarabangsa bagi tahun 2020, 2021 dan 2022 dari lapangan terbang antarabangsa di Malaysia untuk perbandingan.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan perancangan pihak Kementerian dalam memastikan usahawan kecil dan sederhana khususnya dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan negara agar terus berkembang dan menyumbang sekurang-kurangnya 30% GDP selari dengan keterlibatan 30% tenaga kerja di Malaysia.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan status siasatan kes 3R dan pendakwaan terhadap YB Bagan berkenaan ucapan beliau yang menuduh Gelombang Hijau “akan menafikan hak bukan Islam dan akan berlaku pemusnahan rumah ibadat mereka”.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Kesihatan menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk meningkatkan keupayaan layanan fisioterapi di semua hospital dan klinik- klinik di bawah KKM bagi mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan masa rawatan terhadap pesakit.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana keberkesanan langkah-langkah yang diambil Kementerian dalam menyelesaikan isu stunting (bantut) dan wasting (susut) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun. – HARAKAHDAILY 14/11/2023