SAYA terbaca sebuah artikel di dalam beberapa media utama bertarikh 5 November 2023.
Hampir semua media menulis berita dengan tajuk ‘Harga ayam serendah RM5 di Melaka’.
Ini satu berita baik kepada rakyat Melaka. Biar pun subsidi ayam telah ditarik balik oleh kerajaan madani tapi masih ada yang menjual ayam dengan harga yang murah dari harga pasaran biasa.
Cuma saya tidak terbaca dalam media pihak Exco dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mendedahkan kedai-kedai yang menawarkan harga ayam murah ini.
Mereka harus menyenaraikan kedai-kedai dengan harga ayam murah ini untuk pengetahuan rakyat Melaka. Ini akan sangat membantu rakyat Melaka yang sedang tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi untuk mendapatkan ayam dengan harga murah ini.
Pendedahan ini juga penting untuk menjadi panduan dan peniaga lain akan bersaing untuk menjual harga ayam dengan lebih rendah walau tanpa subsidi.
Juga ada dinyatakan tidak ada aduan yang diterima mengenai kenaikan harga ayam melebihi RM9.40 atau RM10. Kenyataan ini seolah-olah rakyat Melaka menerima semua harga yang dinyatakan pihak KPDN.
Menjadi pertanyaan kepada saya apakah itu harga siling ayam? Atau mungkin selepas ini akan ada kenyataan tidak ada aduan harga ayam melebihi RM15?
DR MOHD YADZIL YAAKUB
ADUN Bemban – HARAKAHDAILY 14/11/2023



Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!