Ejen perisik Israel di Iraq yang diculik masih hidup

Elizabeth Tsurkov muncul buat pertama kali dalam siaran video yang disiarkan pada 13 Nov 2023 sejak dilaporkan diculik di Iraq pada Mac tahun ini. (FOTO: The Times of Israel)
- Advertisement -

BAGHDAD, Iraq: Ahli akademik Israel-Rusia yang mengakui bekerja untuk agensi perisikan Israel dan AS di Syria dan Iraq, dikesan hidup buat kali pertama kali selepas diculik tanpa dapat dikesan sejak beberapa bulan lalu.

Elizabeth Tsurkov, yang dilaporkan diculik di Iraq pada Mac 2023, dilihat hidup dalam video yang ditayangkan oleh saluran Telegram pro-pejuang Iraq pada Isnin (13 Nov).

- Advertisement -

Terdahulu pada bulan Julai, pihak berkuasa Israel telah mendedahkan bahawa Tsurkov telah diculik dan mendakwa pejuang pro-Iran bertangggungjawab di sebalik penculikan itu.

Kini, dalam video yang disiarkan oleh TV Al Rabiaa, Tsurkov dilihat memakai baju hitam dan bercakap kepada kamera dalam bahasa Ibrani.

Video itu yang turut dikongsi di saluran Telegram kumpulan bersenjata pro-Iran di Iraq itu, berdurasi lebih kurang empat minit.

Walau bagaimanapun, ia tidak dapat disahkan dengan tepat tarikh video itu dirakam, atau butiran lain seperti siapa penculik dan info lain.

Dalam video itu, wanita berusia 37 tahun itu kedengaran menyeru agar perang Israel-Hamas dihentikan dan juga meminta bertindak untuk pembebasannya. Dia juga berkata bahawa dia telah ditahan selama lebih tujuh bulan.

Tsurkov ialah pelajar kedoktoran di Princeton University dan seorang felo di New Lines Institute for Strategy and Policy.

Dia berkata dalam video itu bahawa dia telah bekerja untuk agensi perisikan Israel dan AS di Syria dan Iraq.

Dalam laporan oleh Haaretz, dilaporkan bahawa Tsurkov, yang merupakan dua warganegara Israel-Rusia, memasuki Iraq pada awal tahun ini menggunakan pasport Rusianya.

Laporan itu mengatakan bahawa dia sering melakukan kerja perisikan untuk Israel dan AS untuk kerjaya kedoktoran dan penyelidikan akademiknya  di Universiti Princeton kerana dia pakar di Timur Tengah.

Selepas video terbaru itu muncul, keluarga mahupun pihak berkuasa Israel bagaimanapun belum memberikan sebarang ulasan.

Namun pengumuman dari pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah dibuat pada bulan Julai, yang menyatakan bahawa Tsurkov “masih hidup, dan menganggap Iraq bertanggungjawab atas nasib dan keselamatannya.”

Sementara pada bulan Julai, kerajaan Iraq berkata ia telah melancarkan siasatan berhubung kehilangan Tsurkov tetapi sejak itu tidak mengumumkan sebarang perkembangan mengenai siasatan berkenaan.

Pada 24 Julai 2023, sumber rasmi di Lubnan telah mengesahkan kepada agensi berita, The Cradle bahawa Tsurkov, yang memasuki Iraq secara haram menggunakan pasport Rusia, juga  pernah melawat Lubnan secara haram selama tiga bulan antara April dan Julai 2022.

Sumber itu mendedahkan bahawa Tsurkov memasuki Lubnan menggunakan pasport Rusia yang dikeluarkan di bawah nama ‘Elizaveta Tsurkova’ – sedikit kelainan berbanding nama yang digunakannya secara terbuka. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

- Advertisement -