KOTA BHARU: Umat Islam di negara ini menghadapi cabaran yang begitu besar apabila Kanun Jenayah Syariah (KJS) dicabar oleh individu beragama Islam.
Terbaharu ada individu bergelar peguam mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Nassuruddin Daud berkata, kes itu akan diputuskan pada 20 November ini di Mahkamah Persekutuan.
Oleh itu katanya umat Islam wajib bermunajat kepada Allah Taala supaya undang-undang Islam dapat dipertahankan.
“Sekiranya permohonan Nik Elin Zurina dibenarkan Mahkamah Persekutuan akan menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah tercabar,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Hududullah di Dewan Besar Sultan Ismail Petra di Kompleks Islam Darulnaim Lundang hari ini.
Seorang peguam dan anaknya mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November untuk pendengaran petisyen kes tersebut.
Sehubungan itu kerajaan Kelantan akan menganjurkan Munajat Pertahan Enakmen Syariah pada 18 November ini di Stadium Sultan Muhammad IV.
Menteri Besar juga berkata, perkembangan teknologi terkini memberi cabaran pelaksanaan undang-undang syariah oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah.
“Tanpa kefahaman dan sokongan semua pihak kejayaan tidak akan dapat dikecapi sekiranya konsep amar makruf nahi mungkar tidak dihayati.
“Undang-undang syariah dalam konsep amar makruf nahi mungkar akan melahirkan masyarakat, pemimpin dan rakyat yang saling bertaawun dan mengasihi antara satu sama lain,” katanya.
Mohd Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri sentiasa komited mendidik dan melaksanakan syariah Islam sesuai dengan maqasid iaitu matlamat syariah yang menekankan pendekatan ta’dib atau mendidik.
Menurutnya juga sambutan Hari hududullah merupakan medium terbaik bertujuan mendidik serta mengajak masyarakat lebih cakna kepada undang-undang Syariah. – HARAKAHDAILY 13/11/2023