Rekreasi: Pengunjung diminta waspada perubahan cuaca

- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai yang mengunjungi mana-mana pusat rekreasi atau pelancongan di negeri ini dinasihatkan untuk berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terutama pada musim hujan.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mej (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata pengunjung di sesuatu kawasan khususnya melibatkan sungai dan air terjun juga perlu berwaspada dengan perubahan aliran air yang mungkin menandakan bencana kepala air akan berlaku di situ.

“Jika mereka ingin pergi ke kawasan berkenaan, perlu ada sikap berhati-hati ataupun sentiasa peka dengan keadaan cuaca, keadaan aliran air sungai dan air terjun, maknanya kalau dah nampak keadaan cuaca berubah seperti gelap hendak hujan, maka segeralah keluar dari kawasan itu.

“Mereka juga perlu peka dengan paras air sungai, jika air naik atau bertukar keruh dan ada daun-daun kering atau aliran berubah menjadi laju, segerakan naik ke kawasan selamat serta pantau ahli keluarga masing-masing terutama kanak-kanak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 39 kawasan panas di negeri ini yang berisiko berlakunya fenomena kepala air, risiko sama boleh berlaku di kawasan lain terutama sekiranya ada hujan lebat.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 39 kawasan panas berpotensi berlaku kepala air di negeri ini antaranya Lata Celak, Iboi, Lata Bayu, Kuala Kedua, Lata Bukit Hijau, Teratak Simpul, Air Panas Ulu Legong, Lubuk Badak di Baling serta Titi Hayun, Air Terjun Seri Perigi, Air Terjun Batu Hampar, Taman Rekreasi Sungai Badak, Sungai Bukit Kuari dan Kem Rekreasi Puteri Mandi di Yan.

Dalam pada itu, Mohd Muaz berkata APM Kedah melaksanakan latihan pemerkasaan Anggota Sukarela Pertahanan Awam (ASPA) sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 yang dijangka berlaku pada Sabtu ini hingga Mac tahun depan.

Beliau berkata latihan sebanyak tiga siri bermula bulan ini hingga Disember membabitkan semua anggota agensi itu di semua daerah bagi mempersiapkan pasukan sukarela untuk bersedia menghadapi MTL.

“Selain membuat pelan penyelarasan, pemantauan, pemerkasaan komuniti setempat serta persediaan logistik, APM sedang melaksanakan latihan bagi memastikan anggota dapat mengekalkan kompetensi diri semasa bertugas, dapat digerakkan secara teratur dan maksimum apabila berlaku sesuatu bencana.

“Walaupun Kedah tidak termasuk dalam senarai negeri yang akan menerima episod hujan lebat seperti yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini, persediaan tetap dilaksanakan kerana cuaca sekarang adalah di luar jangkaan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -