Masih berfungsikah Akta Anti Lompat Parti?

- Advertisement -

ISU peralihan sokongan beberapa Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri mencetuskan tanda tanya, adakah ia dikira lompat parti? Akta Anti Lompat Parti yang digubal sebelum ini menyatakan seseorang wakil rakyat itu terlucut jawatannya sekiranya ia bertindak keluar parti.

Polemik peralihan sokongan ini menjadi persoalan yang serius kerana jika disabitkan dengan kesalahan lompat parti, kesemua Ahli Parlimen yang ingkar prinsip parti dengan menyokong parti lawan wajib mengosongkan kerusi masing-masing.

Antara Ahli Parlimen PN yang telah menyatakan sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri ke-10 (PMX) ialah Labuan, Kuala Kangsar, Gua Musang dan yang terbaharu Jeli. Kesemuanya memberikan alasan bahawa tindakan mereka semata-mata untuk memastikan kebajikan rakyat Parlimen mereka terbela.

Walaupun jelas tindakan mereka menyalahi prinsip parti iaitu memberikan sokongan terhadap PMX tanpa arahan parti, namun mereka masih ahli sah parti mereka iaitu Parti BERSATU menyebabkan Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai ke atas mereka.

Sekiranya Parti BERSATU memecat mereka, adakah mereka dikira lompat parti kerana mereka sudah tidak menjadi ahli parti? Menurut Akta Anti Lompat Parti, mereka masih lagi Ahli Parlimen yang sah kerana pemecatan oleh parti tidak dikira sebagai lompat parti kerana pemecatan bukanlah di bawah kawalan Ahli Parlimen tersebut.

Maka, jelaslah bahawa penggubalan Akta Anti Lompat Parti untuk memastikan kestabilan politik tercapai belum dapat memenuhi objektif sebenarnya. Ia bukanlah jalan terbaik untuk memastikan wakil rakyat setia dengan prinsip masing-masing.

Undang-undang terbaik pun belum tentu dapat  mengawal tindakan manusia yang gemar memanipulasikan undang-undang untuk kepentingan sendiri. Hanya taqwalah yang mampu meneguhkan prinsip seseorang. Berprinsiplah!

JABATAN PENERANGAN
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 9/11/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -