ALOR SETAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM100,000 sumbangan kepada penganut agama Hindu sempena Deepavali tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan berkenaan menyasarkan 1,200 bakul makanan untuk diedarkan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang perayaan itu 12 Nov ini.
“Tahun lepas, peruntukan sebanyak RM160,000, kita bagi (dalam bentuk) ‘angpau’ (wang tunai) dan barangan.
“Tahun ini RM100,000 tanpa ‘angpau’ tetapi kita lebihkan jumlah kotak barangan sumbangan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Sanusi mewakili kerajaan negeri mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali khususnya kepada masyarakat India di Kedah yang mewakili 6.7 peratus penduduk negeri itu.
“Pada 18 November ini akan diadakan Rumah Terbuka Deepavali di Sungai Lalang, yang akan dikendalikan oleh Exco Masyarakat Cina, India dan Siam, Wang Chia Zhen,” tambah beliau.
Semalam juga, diadakan gimik penyampaian bakul barangan sumbangan Deepavali di aras enam, blok E, Wisma Darul Aman kepada wakil penganut agama Hindu di beberapa DUN berdekatan.
Bersempena dengan itu juga, Sanusi yang juga penulis buku, ‘Dinding Sekeping Adik Seorang itu juga diberi penghormatan melancarkan Buku Cerpen Iyal yang mengumpulkan cerpen Tamil karya guru-guru sekitar Kedah, yang akan diagihkan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SKJK) Tamil sekitar Kedah.