KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok). menyambut baik pendekatan baharu kerajaan bagi mengurangkan kemiskinan tegar secara holistik.
Menurutnya, Ahli Parlimen yang mempunyai jumlah ketua isi rumah miskin dan miskin tegar yang tinggi pasti menyambut baik segala inisiatif yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Baitul Mal, badan korporat dan NGO.
“Khusus untuk Bachok, kami bersedia untuk bekerjasama meneruskan program pembasmian kemiskinan tegar yang telah pun dijalankan sebelum ini.
“Saya mengharapkan penglibatan lebih ramai ketua isi rumah, ibu tunggal dan golongan belia agar dapat keluar (graduasi) daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Ekonomi, Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Syahir berkata, difahamkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tempoh hari turut menggariskan beberapa pendekatan ke arah menoktahkan kemiskinan dalam negara.
“Saya mohon kementerian berkongsi di Dewan yang mulia ini, langkah-langkah baharu yang akan diambil dalam Belanjawan 2024 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!