DI SAAT artikel ini ditulis, bumi Gaza yang berkeluasan 365 km persegi itu yang sebelum ini didiami oleh lebih 2 juta rakyat Palestin, sebahagian besar telah ranap. Bangunan dan tempat kediaman musnah dikerjakan oleh tentera rejim haram Zionis Israel. Ribuan telah terkorban dan ramai lagi cedera.
Saban hari media elektronik dan media sosial memaparkan keadaan semasa di sana.
Hati manusia mana yang tidak pilu dan sayu melihat nasib yang menimpa rakyat di Gaza dan kini termasuk juga di Tebing Barat. Kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat kebanyakan menanggung derita asakan taraf haiwan rejim Israel yang bermatlamat mahu menghancurkan Gerakan Perjuangan rakyat Palestin yang diketuai HAMAS.
Seruan dan desakan untuk diadakan gencatan senjata termasuklah melalui keputusan forum antarabangsa, Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu langsung tidak diambil pusing oleh Israel.
Melihatkan nasib yang menimpa jutaan rakyat yang tidak berdosa itu, masyarakat dunia bangkit protes. Demonstrasi besar-besaran menyelar Israel dan menggesa dihentikan serangan tanpa peri kemanusiaan itu berlaku merata-rata termasuklah di Amerika Syarikat sendiri, Eropah, Afrika, Asia dan semua negara Islam.
Malah atas kemarahan masyarakat dunia itu boikot besar-besaran terhadap barangan dan produk Israel serta negara-negara sekutunya sedang berlaku termasuklah di Malaysia. Di Malaysia sebelum ini pernah dalam beberapa isu terdapat seruan untuk memulau dan boikot sesuatu produk atau barangan, tetapi kesannya tidaklah menyeluruh. Kali ini dalam isu pembunuhan di Palestin, beberapa syarikat berkaitan teruk mengalami kerugian. Boikot ini disertai hampir keseluruhan rakyat khasnya umat Islam.
Ramai mahu konflik ini dianggap sebagai isu kemanusiaan, isu sejarah. Ia konflik yang melibatkan pembunuhan rakyat yang tidak berdosa akibat perbezaan politik antarabangsa. Ia mahu disamakan dengan isu-isu kemanusiaan yang lain seperti di Myanmar, Yaman, Bosnia (satu ketika dahulu) dan kini Ukraine.
Mungkin kerana mahu menarik kefahaman dan sokongan masyarakat bukan-Islam, konflik di Palestin ini mahu dianggap begitu. Biarlah umpamanya seluruh rakyat Malaysia menyokongnya atas dasar kemanusiaan bukannya agama yang nanti kononnya hanya akan memisahkan sesama kita.
Tetapi mengapa perlu kita berhelah. Memang ia isu kemanusiaan buat dunia, tetapi lebih-lebih lagi buat umat Islam ia isu aqidah. Kerana itu umat Islam bukan hanya di Malaysia (tanpa mengira fahaman politik) tetapi seluruh dunia bangkit mencela rejim haram Zionis ini kerana ia melibatkan isu agama dan kepercayaan yang merupakan darah daging umat Islam.
Kerana ianya demikianlah maka umat Islam terang-terangan mengadakan solat hajat, bertakbir dan berqunut nazilah. Ia perjuangan aqidah yang tidak mengenal batas sempadan geografi atau perbezaan politik.
Konflik ini bukan PAS yang juarai, ia bukan isu kepartian. Yang berdemonstari seluruh dunia bukannya kerana didesak PAS, tetapi ia isu aqidah, janganlah mana-mana pihak mahu memandang kecil dan memperlekehkan apa lagi mengaitkan pula dengan PAS seolah konon PAS mahu mengambil kesempatan atas isu ini untuk kepentingan politik.
Ia sepatutnya dijuarai Malaysia kerana kita sebagaimana negara Islam lain ialah sebuah negara Islam, tanpa apa-apa alasan lain lagi.
Mengapa HAMAS menceroboh ke Israel sehingga mencetuskan tindak-balas Israel dan mengakibatkan rakyat Palestin menanggung derita?
Soalan ini mungkin layak dibawa oleh mereka yang bukan-Islam, mungkin kerana mereka tidak dapat menjiwai isu ini. Tetapi sebagai seorang Islam kita janganlah bersekongkol dengan mereka yang tidak faham ini. Kita perlu dengan satu hati dan suara bangkit serta beri penjelasan.
Menurut jurucakap HAMAS mereka bertindak kerana tidak lagi boleh sanggup menerima dasar Israel yang kukubesi terhadap rakyat Palestin, beberapa tindak-tanduk askar rejim haram ini termasuk terhadap penganut Islam yang bersolat di Masjid al Aqsa tidak dapat diterima. Rancangan penempatan baru rakyat Israel di bumi milik Palestin adalah kezaliman dan tindakan penjajahan yang biadab.
Bumi Palestin ini menempatkan masjid yang ketiga paling mulia buat umat Islam iaitu Masjid al Aqsa di Tebing Barat, kiblat pertama umat Islam sebelum Allah S.W.T perintahkan untuk menghadap ke Kaabah di Makkah. Rakyat Palestin termasuklah umat Islam dunia tidak boleh sanggup melihat masjid mereka yang tempat Rasulullah S.A.W naik ke langit semasa Peristiwa Israk Mikraj mahu dimusnahkan rejim Israel.
Bumi Palestin tempat para Nabi dan Rasul membawa risalah mereka, ia tanah suci buat Islam dan agama samawi yang lain.
Memperjuangkan agar ia dibebaskan dari sebarang unsur penjajahan adalah tuntutan agama, dan melihat rakyat yang melindungi bumi bertuah ini dibunuh dan dicederakan adalah sesuatu yang melampau dan tidak dapat diterima.
Kerana itu umat Islam bangkit, ini tanah umat Islam, tanah rakyat Palestin bukannya milik penjajah haram Israel.
Lantas bagaimana kita mahu menganggap isu ini isu kemanusiaan semata-mata, tiada kaitan dengan Islam? Biarlah jika ada rakyat yang bukan-Islam mahu menganggap ini isu kemanusiaan kerana kita pun tidak mengharapkan doa dan qunut nazilah dari mereka. Ya biarlah ia isu kemanusiaan buat mereka. Tetapi bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam isu ini berkait dengan jiwa dan aqidah kita.
Rakyat Malaysia yang bukan-Islam wajar difahamkan mengapa umat Melayu Islam di Malaysia begitu sensitif dalam isu Palestin ini, bukan sebagaimana Rohingya atau Ukraine. Dalam isu Rohingya dan Ukraine kita menuntut pembelaan kerana ia isu kemanusiaan, tapi dalam konflik Palestin ini ia isu pembebasan.
Biarlah rakyat Malaysia yang beragama Islam mahu solat hajat, mahu bertakbir, mahu berqunut nazilah, menaikkan bendera Palestin, menggunakan logo rakyat dan para pejuang Palestin, termasuklah memboikot produk Israel dan sekutunya kerana mereka sebagaimana umat Islam dunia yang lain bertanggungjawab membela bumi Anbiya’ ini, membebaskannya khasnya Masjid al Aqsa.
Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr. Ekrima Sabri ketika melawat Malaysia pernah dilaporkan berkata perjuangan isu Palestin akan terus hidup dan tidak akan berakhir kerana ia adalah perjuangan mempertahankan akidah dan iman ummah, serta kewujudan Masjid Al-Aqsa di Palestin.
Jangan teragak-agak dan terkeliru lagi.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/11/2023
Palestin kita bela kerana akidah dan kemanusiaan
- Advertisement -