SEMENANJUNG GAZA: Tentera Israel mendakwa ia telah mengepung Kota Gaza dan membahagikan jalur pantai Semenanjung kepada dua – utara dan selatan, bagi operasi menggempur seterusnya.
Jurucakap Angkatan Tentera Israel (IDF), Daniel Hagari berkata demikian pada Ahad, menyebutnya sebagai ‘peringkat penting’ dalam perang Israel terhadap Hamas di Gaza.
“Hari ini, terdapat utara Gaza dan selatan Gaza,” dakwanya.
Media Israel pula melaporkan bahawa IDF dijangka memasuki Kota Gaza dalam tempoh 48 jam; dengan letupan kuat dilihat di utara Gaza selepas waktu malam.
Sehubungan itu, berlaku gangguan terhadap sistem telekomunikasi di seluruh Gaza yang dilaporkan oleh kumpulan advokasi akses internet NetBlocks.org dan disahkan oleh syarikat telekomunikasi Palestin, Paltel menjadikannya lebih rumit untuk menyampaikan butiran sebenaqr mengenai peringkat baharu serangan IDF.
Gangguan sistem telekomunikasi di Gaza
“Kami telah kehilangan komunikasi dengan sebahagian besar ahli pasukan UNRWA,” kata jurucakap agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Juliette Touma kepada Associated Press (AP).
Gangguan terbaharu sistem telekomunikasi di Gaza yang pertama berlangsung selama 36 jam dan yang kedua selama beberapa jam.
Terdahulu pada Ahad, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, pesawat tentera udara Zionis Israel menyerang dua kem pelarian Gaza tengah, mengorbakan sekurang-kurangnya 53 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Israel tolak rayuan AS henti seketika serangan
Israel dalam pada itu berkata, ia akan meneruskan serangannya terhadap Hamas, walaupun Amerika Syarikat telah merayu supaya menghentikan seketika seketika serangan untuk memberikan bantuan kepada orang awam Gaza yang terdesak.
Kementerian kesihatan Palestin berkata lebih 9,700 rakyat Palestin telah terkorban setakat Ahad di wilayah itu dalam hampir sebulan perang Hamas-Israel itu, dengan lebih 4,000 daripadanya kanak-kanak. Jumlah itu mungkin akan meningkat apabila tentera Israel mara ke kawasan kejiranan bandar yang padat.
Serangan udara melanda kem pelarian Maghazi semalaman, juga pada Ahad, membunuh sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan 34 yang lain, lapor Kementerian Kesihatan Gaza yang menambah bahawa kem itu berada di zon, lokasi di mana tentera Israel telah menggesa orang awam Palestin untuk mencari perlindungan.
Tiada komen segera daripada tentera Israel pada ketika ini mengenai insiden berkenaan, namun satu lagi serangan udara dilaporkan melanda sebuah rumah berhampiran sekolah di kem pelarian Bureji di tengah Gaza pada Ahad.
Kakitangan di Hospital Al-Aqsa berkata sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam kejadian itu, yang mana kem yang sama dibom pada Khamis lalu.
Walaupun rayuan dan demonstrasi di luar negara, Israel tetap meneruskan pengebomannya di seluruh Gaza; dan pengkritik berkata serangan Israel selalunya tidak seimbang, memandangkan jumlah besar orang awam terbunuh. – HARAKAHDAILY 6/11/2023