KUALA LUMPUR: Isu kawalan penggunaan kalimah Allah akan dapat diselesaikan jika Akta Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam Wilayah Persekutuan dibentang dan diluluskan.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkatya, ini kerana wujud bahagian dan jadual yang memperuntukkan perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan agama bukan Islam dalam enakmen kawalan ini yang kini terpakai di 10 negeri yang telah meluluskannya.
“Antara lain kalimah Allah, Baitullah, Ka’abah, Firman Allah, Hadis, Ilahi, Wahyu, Ibadah dan perkataan-perkataan lain yang tersenarai dalam bahagian tersebut.
“Peruntukan undang-undang ini boleh membantu kerajaan mengekang usaha penyalahgunaan kalimah Allah di peringkat Wilayah Persekutuan,” ujarnya.
Beliau menyatakan perkara ini semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Guru Zulkifli turut bertanyakan soalan ‘bagaimana kerajaan mahu bergerak ke arah usaha penyelarasan, terutama dalam isu perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam jika di peringkat Wilayah Persekutuan sendiri masih belum ada undang-undang yang khusus bagi mengatasi hal ini?
Selain itu, beliau menyinggung berkaitan keperluan pertambahan bilangan penjawatan bagi mempercepatkan proses penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak berdasarkan kepada butiran yang sama.
“Hal ini kerana jika dilihat kepada bilangan penjawatan bagi tahun 2023 dan 2024 itu adalah sama. Pada pandangan saya sekiranya kerajaan serius untuk memperkasakan undang-undang syariat, pertambahan bilangan penjawatan adalah perlu bagi mempercepatkan proses penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak.
“Sudah tiba masa JAKIM mempunyai pegawai undang-undang sendiri secara lantikan tetap dan turut menambah bilangan pegawai yang akan menguruskan usaha pemerkasaan syariah di peringkat JAKIM,” ujarnya.
Dalam perbahasan itu beliau membangkitkan soalan adakah kerajaan bersedia untuk menambah bilangan perjawatan untuk pegawai undang-undang di JAKIM. – HARAKAHDAILY 6/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!