Ajaran siapa tak boleh takbir di sekolah?

Tuan Guru Zulkifli Ismail dalam program 'Solidarity For Palestine' anjuran PAS Kawasan Jasin yang berlangsung di Dataran Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ) di Jasin, Melaka pada 5 Nov 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abu Anas).
- Advertisement -

JASIN: Pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam Parlimen baru-baru ini bahawa takbir dan qunut nazilah tidak dibenarkan dalam sambutan minggu solidariti Palestin di sekolah-sekolah telah dipersoalkan.

Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata demikian sambil menegaskan bahawa  tindakan itu menggambarkan sikap tidak jujur seorang yang beragama Islam terhadap ajaran yang sebenarnya dibawa oleh Islam.

Beliau membawa ibrah daripada sirah, apabila Sahabat meriwayatkan sesuatu dari Rasulullah SAW, ia tidak boleh dipertikaikan kerana mereka akan meriwayat dengan jujur mengenai apa yang diajarkan oleh Baginda.

- Advertisement -

Menurut beliau, walaupun pada zaman Sahabat terdapat dalam kalangan mereka yang melakukan dosa namun mereka tidak akan sanggup untuk menipu tentang ajaran agama kerana ia meletakkan mereka ke dalam golongan munafik.

“…dalam Parlimen (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) bercakap, tak boleh takbir, tak boleh qunut nazilah. Ni tak boleh (takbir, qunut nazilah) ni ajaran siapa? Ini bukan ajaran Islam.

“Kenapa pula orang yang mengetuai  Kementerian Pendidikan, yang mendidik anak-anak orang Islam, bercakap tidak mewakili ajaran Islam dan menghalang takbir dan qunut nazilah. Kenapa? 

“Sebaliknya terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai ritual agama yang lain. Kenapa jadi begitu? Kerana sikap tidak jujur kepada ajaran agama. Kalau di zaman Nabi orang macam saya tak tahu dia dipanggil apa,” tegas beliau. 

Tuan Guru Zulkilfli di samping Nadir Al-Nuri.

Tambahnya, berlaku dalam satu sirah pada zaman tabi’in di mana seorang Sahabat berhadapan dengan seorang tabi’in yang bersikap tidak jujur dan berbolak balik dalam kata-katanya.

“Sahabat kata, perangai macam ni kalau di zaman kami dipanggil munafik! Kita hari ni bercakap dalam Parlimen ikut sedap. Yang Nabi tak cakap kita cakap, yang Nabi tak ajar kita ajar. 

“Kita bawa ajaran yang bermacam-macam. Liberal, sekular dan sebagainya. Selepas itu berasa kita jadi orang soleh, berasa kita memperjuangkan kebenaran. 

“Ini fitnah yang berlaku di akhir zaman yang kita mesti mengambil pesanan Nabi SAW berpegang teguh, menggigit dengan gigi geraham kita al-Quran dan Sunnah,” hujahnya lagi. 

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian  dalam program ‘Solidarity For Palestine’ anjuran PAS Kawasan Jasin yang berlangsung di Dataran Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ) di sini, malam tadi.

Program tersebut menampilkan aktivis NGO Cinta Gaza Malaysia, yang juga rakyat Malaysia yang menetap di Gaza, Nadir Al Nuri sebagai penceramah utama selain beberapa penceramah lain.

Antara yang turut berucap ialah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

Dalam majlis tersebut, Ustaz Kamarudin turut menyerahkan sumbangan yang dikutip oleh PAS Kawasan Jasin daripada cawangan-cawangan dan individu-individu dalam kawasan tersebut yang berjumlah RM45,000.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM40,000 telah diserahkan kepada Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza, Nadir Al-Nuri manakala RM5,000 lagi diserahkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka yang diterima sendiri oleh Tuan Guru Zulkifli untuk dikumpulkan dalam program sumbangan Palestin anjuran PAS Pusat.

Turut hadir ialah beberapa orang rakyat Palestin dari Gaza yang merupakan aktivis NGO Cinta Gaza yang mengikuti Nadir pulang ke Malaysia sebelum ini namun tidak dapat masuk semula akibat perang yang berlaku.

Program turut dihangatkan dengan bacaan doa wehdah, qunut nazilah dan gimik perasmian kibaran bendera oleh Alumni PASTI Melaka dan bacaan puisi daripada deklamator cilik, adik Fahim. – HARAKAHDAILY 6/11/2023