KEMAMAN: PAS Kemaman melahirkan keyakinan akan mempertahankan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada 2 Disember nanti.
Walau bagaimanapun, Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Che Alias Hamid mengingatkan jentera muslimat agar jangan berasa angkuh dan sombong dengan kemenangan besar yang diperolehi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ini, katanya kerana musuh akan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan dan menambah majoriti dua pertiga di Parlimen Malaysia.
Beliau yang merupakan mantan Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Jentera Muslimat dan Ameerah P.040 Kemaman yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.
Program tersebut berjaya menghimpunkan 837 petugas muslimat dan Ameerah (Muslimat Muda PAS). Himpunan itu juga berjaya mengumpul sumbangan lebih RM7,000 daripada para peserta.
Turut hadir ialah AJK Dewan Muslimat Malaysia, Dr Siti Mastura Muhammad dan Zuraida Md Noor, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh dan Ketua Muslimat Kemaman, Ustazah Fainah Mat.
Menurut Ustaz Alias PRK itu diadakan akibat Umno/Barisan Nasional tidak dapat menerima kekalahan dalam PRU15 yang lalu.
“Musuh kita yang angkuh sombong tidak dapat menerima kemenangan kita dan kekalahan dia dalam pilihan raya yang lepas dengan majoriti lebih 27,000.
“Kita berdepan dan kita akan bekerja bersungguh-sungguh dan tawaduk kepada Allah Taala.
“Insya-Allah dengan izin Allah, yang pastinya kita berusaha untuk menambah undi yang diperolehi dalam PRU yang lalu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/11/2023