Kadar pengangguran di Terengganu catat penurunan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kadar pengangguran di Terengganu mencatatkan penurunan 0.4 peratus pada tahun 2022 berbanding 4 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC BERHAD, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kadar itu bukan sahaja lebih rendah berbanding paras nasional, malah lebih baik.

- Advertisement -

“Kerajaan melalui Terengganu Skills menawarkan program berbentuk reskilling dan peningkatan tahap kemahiran yang lebih kompetitif.

“Sebagai bukti kesungguhan kerajaan dalam usaha membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada lepasan graduan, kadar pengangguran di Terengganu telah mencatatkan penurunan kepada 3.6 peratus tahun lalu berbanding 4 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kadar itu bukan sahaja lebih rendah berbanding paras nasional iaitu 3.9 peratus, malah lebih baik ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada November tahun lalu iaitu antara 3.7 peratus hingga 3.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi menyempurkan Majlis Konvokesyen Ke-5 TESDEC, di Terengganu Equestrian Resort (TER), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa peka dengan perkembangan pendididikan dan latihan yang berlaku di Terengganu dalam memastikan setiap graduan yang dilahirkan oleh institusi di negeri ini sentiasa mendapat tempat di industri dan sektor yang memerlukan. 

Justeru itu kata beliau, kerjasama dan kolaboratif dengan pemain industri sentiasa dijalankan bagi mewujudkan kesinambungan jalinan yang saling melengkapi dari aspek ketrampilan graduan selaras dengan keperluan guna tenaga di industri. 

“Kerajaan negeri telah melaksanakan tiga strategi penting menerusi Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) yang turut dianggotai Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Strategi pertama adalah memasarkan maklumat pekerjaan dengan lebih meluas terutamanya kepada pencari kerja graduan dan belia. Ini termasuk mendaftarkan pencari kerja dan majikan dalam satu ekosistem iaitu MYFutureJobs dan membangunkan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (SAMPAI).

“Strategi kedua pula adalah menghubungkan pencari kerja dengan pihak industri atau bakal majikan, dan menganjurkan program pemadanan pekerjaan di peringkat daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Manakala, strategi ketiga adalah dengan meningkatkan kebolehkerjaan dan kebolehpasaran pencari kerja, mengadakan program ‘career grooming’, membimbing penyediaan resume, membangun kemahiran insani dan kemahiran teknikal yang berkaitan pekerjaan,” katanya.

Kata Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, semua inisiatif ini adalah untuk memastikan setiap graduan di negeri ini mendapat ruang dan peluang yang sama dalam mendapatkan pekerjaan seterusya memperoleh pendapatan yang akhirnya akan mengubah landskap ekonomi dan sosial di negeri tercinta ini. 

“Saya tahu cabarannya besar. Namun, saya lebih percayakan bakat dan potensi yang ada pada kita semua rakyat Terengganu. Kita akan sampai ke tahap itu nanti, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2023

- Advertisement -