KOTA BHARU: Isu kenaikan harga barangan keperluan harian, mencabar Kanun Jenayah Syariah dan solidariti Palestin antara isu yang menarik perhatian rakyat sekarang.
Begitu juga kejatuhan nilai ringgit yang semakin tidak terkawal di era Madani menjadi bualan harian rakyat.
Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, isu-isu terbabit menjadi tumpuan Pidato Dato’ Panglima Perang yang akan diadakan pada 4 November ini di Dewan Jubli Perak MPKB BRI.
Katanya pada program tersebut Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud akan berganding dengan Badrul Hisham Shahrin (CheguBard) dan Yang Dipertua PAS Kota Bharu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.
“Program terbabit akan bermula solat Isyak berjemaah, kemudian diikuti solat hajat serta qunut nazilah bagi memohon semoga Allah menyelamatkan umat Islam di Palestin.
“Gandingan Dato’ Panglima Perang dan CheguBard sebagai ikon pejuang rakyat yang berani dan lantang menegur tatakelola pentadbiran negara,” katanya di sini.
Nasruddin juga berkata, ada pemimpin politik mempertikai penganjuran Minggu Solidariti di sekolah memperlihatkan wajah sebenar pemimpin sekular.
Menurutnya kehadiran murid dengan memperagakan senjata tiruan tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia sekadar program memperingatkan kezaliman Zionis Israel di Palestin.
Sementara itu mulai hari ini harga ayam di pasaran meningkat lagi ekoran kerajaan Madani menarik subsidi kawalan harga. – HARAKAHDAILY 1/11/2023