KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertingkatkan kempen penggunaan minyak sawit di negara rantau Timur Tengah, selain menerokai pasaran baharu di negara yang belum diterokai sebelum ini.
Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, langkah itu mampu meningkatkan nilai minyak sawit pasaran semasa sekali gus pekebun sawit dapat menikmati pulangan lebih tinggi.
Beliau berkata, masih ramai penduduk dunia tidak mengetahui dan mendapat pendedahan mencukupi mengenai kebaikan penggunaan minyak sawit yang mempunyai kandungan vitamin E serta anti oksidan yang tinggi.
“Berkenaan kempen anti minyak kelapa sawit, itu tajuk yang kita lebih ke hadapan. Soalan saya, apakah perancangan kerajaan untuk berkempen di negara yang belum kita terokai.
“Mereka tidak tahu kelebihan sawit, dia tidak anti sawit yang kita lawan itu. Jadi kalau boleh dimasukkan agenda kerajaan ke negara yang belum mengimport sawit dari Malaysia,” katanya ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2024 Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kerajaan melaksanakan program pengiklanan mengenai kelebihan penggunaan minyak sawit ke negara rantau Timur Tengah.
Menurutnya, minyak sawit keluaran negara kian mendapat permintaan penduduk Arab Saudi, selain peningkatan eksport minyak sawit di pasaran Mesir dan Turkiye.
Katanya, rantau berkenaan menunjukkan pertumbuhan penggunaan yang konsisten kerana kualiti pemakanan dan khasiat minyak sawit merah yang diakui memberi kebaikan kepada kesihatan manusia.
“Kandungan vitamin dan anti oksidan dalam minyak sawit adalah perkara yang kita patut sebar luaskan kepada orang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023