Ustaz Ahmad terima Anugerah Khas Tokoh Dato’ Fadzil Noor

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ustaz Ahmad Abdullah menerima Anugerah Khas Tokoh Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor sempena konvokesyen bersama Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) Terengganu hari ini.

- Advertisement -

Beliau merupakan tenaga pengajar Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) sejak institusi pendidikan itu ditubuhkan sehingga sekarang.

Anak kelahiran Lombok Timur, Indonesia itu mempunyai pengalaman luas terutama sebagai tenaga pengajar di Mualimat Lil Banat Pancor, Lombok Timur selama tiga tahun, Madrasah Taufiqiah Padang Lumat (10 tahun) dan sekarang di KIDU.

Beliau mendapat pendidikan di peringkat rendah dan menengah di Lombok Timur, kemudian meneruskan pengajian ke Maahad di Pancor selama empat tahun sebelum menyambung pengajian ke Mesir selama enam tahun.

Ustaz Ahmad merupakan menantu almarhum Tuan Guru Yahaya Jonid, kini menetap di Taman Suria, Jitra bersama isteri, Faridah Yahaya dan tujuh anak selepas bermastautin di negara ini pada 1987.

Dua lagi penerima Anugerah Khas KIDU iaitu Siti Fathiyah Ahmad Fahmi (Anugerah Pelajar Mithali/Mumtaz) dengan pencapaian CGPA 3.88 dan Nur Amy Natasha Yahaya (3.89).

Manakala sembilan menerima Anugerah Khas KUDQI melibatkan lima Anugerah Imam Shafie iaitu Raja Mukminah Raja Abdul Malek (terbaik syariah 2019), Marsya Nasrin Mohd (terbaik syariah 2020), Nur Azmina Zainuddin (terbaik syariah 2021), Muhammad Mu’izzudin Kamaruzaman (terbaik syariah 2022) dan Raja Nur Kamilah Raja Ab Malek (terbaik syariah 2023).

Sementara tiga penerima Anugerah Ibnu Kathir, Nor Fatihah Zakari (terbaik usuluddin 2020), Wan Norsya’irah Wan Sulong (terbaik usuluddin 2021) dan Khadijah Safiyah Muhammad (terbaik usuluddin 2022).

Manakala, Anugerah Harun Taib KUDQI (terbaik keseluruhan) dinobatkan kepada Marsya Nasrin Mohd.

Semua Anugerah Khas itu disampaikan Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada program berlangsung di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Nor, Kompleks PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 29/10/2023