Kerajaan negeri bantu calon SPM berdepan banjir

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan membuat persiapan untuk membantu pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir pada musim tengkujuh.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, terdapat beberapa sekolah yang sering terlibat banjir.

“Sebelum ini ada sekolah terlibat dengan banjir, jadi kita menjangka beberapa sekolah yang (terlibat banjir), kita akan buat persiapan sebaik mungkin insya-Allah.

“Bagaimanapun kita doakan supaya banjir tidak berlaku ketika peperiksaan. Kita ada pengalaman berlaku banjir sehingga mengganggu persiapan pelajar dan sebagainya.

“Di Hulu Terengganu dan Ceneh di Kemaman sering terlibat dengan banjir, namun kita doakan semoga tidak berlaku tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Pesta Buku @ PPAT 2023 di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim. Turut diadakan pelancaran Buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan Edisi Baharu.

Satiful turut berharap sasaran penganjur mencapai 100,000 pengunjung pada pesta buku itu yang diadakan lapan hari bermula kelmarin menjadi kenyataan.

Pelbagai genre bahan bacaan dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi berpatutan.

Antara aktiviti menarik yang diadakan pertandingan mewarna bagi pelbagai kategori, pertandingan Jigsaw Puzzle, pakaian beragam dan banyak lagi.

Selain itu persembahan busking, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT.

Menurut Satiful pelbagai inisiatif disediakan pihak penganjur yang melibatkan banyak aktiviti dan kehadiran figura terkenal tanah air.

“Antara figura terkenal tersebut iaitu Amin Idris, Sukor Ibrahim, Ain Maisarah Impiana dan ramai lagi yang masing-masing mempunyai slot khas.

“Turut mencuri tumpuan kunjungan pemain Terengganu Football Club (TFC) bertemu peminat pada hari ketiga karnival berlangsung,” katanya.

Tambah beliau, sejumlah 91 penerbit yang terdiri daripada 72 penerbit buku tempatan dan 19 penerbit luar menyertai pesta buku terbabit. – HARAKAHDAILY 29/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -